Salah seorang daripada 19 Pengerusi MPKK yang menerima waitkah perlatikan yang diserahkan oleh Ewon dalam kawasan DUN Tandek
Oleh Aisacc Bjsim
KOTA MARUDU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyalurkan peruntukan pembangunan berjumlah RM116,000 bagi penyediaan tapak perumahan baru dan penyusunan pembangunan infrastruktur Kampung Sejahtera Kg. Samparita Laut.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ia merupakan sebahagian daripada projek pembangunan luar bandar yang dipohon oleh penduduk kampung berkenaan yang dimasukkan dalam pelaksanaan Program Kampung Sejahtera KPLB Sabah.
Beliau berkata peruntukan tambahan sebanyak RM16,000 adalah untuk membina kelengkapan tambahan bilik air dan tandas dewan serbaguna kampung berkenaan.

Beliau turut mengumumkan kelulusan projek kecil di Kampung Samparita Laut untuk dilaksanakan di bawah Program Kampung Sejahtera tahun hadapan iaitu pendawaian elektrik dewan serbaguna dan membina konkrit laluan tangga menuju dewan itu.
“Kita juga melawat rumah-rumah di kampung ini yang disyorkan untuk dibantu di bawah Program Rumah Sejahtera Sabah dan Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah KPLB Persekutuan tahun depan.
“Berdasarkan tinjauan saya sendiri di rumah-rumah berkenaan, ketua isi rumah itu memang layak untuk mendapatkan Rumah Sejahtera Sabah atau PPRT, tapi ada beberapa keperluan teknikal lain yang perlu dimuktamadkan agar mereka disenaraikan dalam e-kasih sebelum kita dapat memberikan bantuan rumah kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Kampung Sejahtera Kg Samparita Laut, Gerakan Desa Wawasan (GDW) Kg.Tingkalanon dan merasmikan Pesta Moginakan di Kg.Gana Kota Marudu, di sini, pada Khamis.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut bersimpati dengan masalah jalan raya yang dihadapi penduduk Kampung Samparita Laut dan berharap KPLB Persekutuan dapat mencari jalan penyelesaian bagi membantu penduduk kampung.
“Jalan Samparita ini terletak di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR). Saya difahamkan oleh Timbalan Pengarah KPLB Persekutuan dan pegawai JKR yang turut serta dalam lawatan ini bahawa Jalan Samparita sudahpun dimasukkan dalam senarai pelaksanaan Rolling Plan ke-4, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).
“Saya amat berharap dalam kunjungan seterusnya ke kampung ini, jalan raya yang begitu mencabar ini sudah dinaiktaraf,” katanya.
Kampung Samparita Laut mempunyai 66 rumah yang didiami kira-kira 260 penghuni merupakan antara kampung yang dimasukkan dalam Program Kampung Sejahtera di bawah KPLB Sabah.
Dalam lawatan singkat Ewon di GDW Kg Tingkalanon, beliau turut dibawa meninjau beberapa masalah di kawasan kampung itu termasuk kerosakan bangunan Bilik Gerakan, perparitan dan rumah-rumah yang memerlukan pembaikpulihan.

Sementara itu, di Kg Gana, Ewon mengumumkan pembinaan Pusat Keusahawanan Desa untuk kegunaan penduduk kampung membuat kraftangan dan memberikan geran RM10,000 daripada peruntukan touchpoints menteri setiap tahun bagi membolehkan mereka menganjurkan pesta itu setiap tahun.
Turut serta dalam lawatan itu Adun Tandek Datuk Anita Baranting, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Timbalan Pengarah KPLB Persekutuan Christnie Alus, Pegawai Daerah Kota Marudu Arnold Joibi, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Suzie Salapan dan para pemimpin masyarakat setempat.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ