KEBAKARAN JETI KAPAL DI JALAN KASTAM LAMA, LAHAD DATU

Pasukan Bomba sedang memadam kebakaran di jeti kapal berhampiran Kampung Epil, Lahad Datu hari ini.

Oleh Faizal Rahman

LAHAD DATU:  Satu kebakaran telah berlaku di jeti kapal milik sebuah syarikat pembinaan berhampiran Kampng Epil di Jalan Kastam Lama pagi ini.

Pusat Gerakan operasi Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 11.30 pagi kelmarin.

Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu bergegas ke tempat kejadian dengan jarak sejauh 4 KM daripada balai menaiki 1 buah jentera bomba diketuai oleh PBK II Pamolis Jahiri bersama 8 orang anggota.

Komander Operasi lapor bahawa kebakaran melibatkan longgokan kayu dan tangki minyak diesel serta 1 unit genset yang berada di atas jeti.

Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut dan kebakaran dapat dikawal pada jam 11.52 pagi sebelum operasi pemadaman tamat pada jam 1.18 petang.

Sementara itu,  menurut Ketua Polis Daerah ACP Nasri Mansor , kebakaran juga melibatkan sebuah kapal milik sebuah syarikat berpejabat di Sandakan yang membawa minyak sawit mentah.

Semasa kebakaran berlaku, kapal tersebut telah ditarik ke tengah laut bagi mengelakkan kebakaran merebak ke tongkang/kapal lain yang berada di limbungan, tambah Nasri.

“Kebakaran bermula kebih kurang jam 11.00 pagi dan pasukan Bomba berjaya memadamkan kebakaran pada kira-kira lebih kurang jam 12.00 tengahari,” katanya lagi.

Setakat ini tiada  kemalangan jiwa dilaporkan. Kerugian masih belum dapat di tafsirkan lagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak Bomba, kata Nasri.