Madius menyerahkan cek sumbangan kepada Pengerusi penganjur bersama Jani Lani disaksikan oleh AJK penganjur
Oleh Janecarr Yado
KOTA KINABALU; Tahap kesedaran tentang hak kanak -kanak dalam masyarakat terutamanya ibubapa masih pada tahap yang rendah.
Masyarakat di daerah Tuaran khususnya perlu berganding bahu memberikan kesedaran tentang wujudnya hak kanak – kanak dan perlu menjaga hak serta memberikan perlindungan kepada kanak – kanak yang memerlukan dengan sewajarnya berdasarkan Akta Kanak – kanak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menggesa semua pihak berkerjasama agar lebih giat mempromosikan kesedaran kewujudan hak kanak – kanak dalam kalangan masyarakat setempat.
“Kalau di Tuaran sahaja, saya difahamkan kesedaran tentang hak kanak – kanak terutama di kalangan ibu bapa agak rendah,” katanya.

“Saya minta jawatankuasa ini untuk selitkan lagi lebih banyak aktiviti yang melibatkan kesedaran tentang wujudnya hak – hak kanak – kanak mengikut Akta Kanak – kanak 2001 (A1511; Pindaan 2016) bukan sahaja pada program ini malah masa akan datang dan berterusan,” tambahnya.
Madius berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada rombongan jawatankuasa penganjur Sambutan Hari Kanak – kanak 2019 peringkat daerah Tuaran di pejabat kementeriannya pagi hari ini.
Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Tuaran memaklumkan akan menganjurkan Sambutan Hari Kanak – kanak bagi peringkat daerah buat julung kalinya.
Sambutan tersebut dijadualkan akan berlangsung pada 26 November 2019 bersamaan hari Selasa dengan anggaran penglibatan seramai 700 orang termasuk kanak – kanak, ibu bapa, masyarakat setempat serta para petugas program itu.
Jani Lani, Pengerusi penganjur bersama sambutan itu berkata penganjuran itu akan melibatkan beberapa pasukan dalam jabatan itu dan juga persatuan yang melibatkan kanak – kanak seperti Taska dan Tabika Perpaduan.
Dalam pada itu, Jani yang juga Pegawai Kebajikan Daerah Tuaran berkata objektif utama penganjuran program itu adalah bagi menjalinkan kerjasama yang mantap semua lapisan masyarakat dalam usaha memperkasakan pembangunan kanak – kanak sebagai kumpulan sasar.
Jawatankuasa penganjur turut menekankan bahawa sepanjang program berlangsung adalah ‘bebas sampah’ bagi menyahut seruan kepimpinan tertinggi di daerah itu untuk membanteras kutu sampah sekaligus menjadikan “Tuaran bersih, cantik dan ceria”.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ