Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Oleh: Nio James
KOTA KINABALU: Daerah Tawau sering menghadapi gangguan bekalan air bersih malah hampir semua tempat atau kawasan penduduk yang jauh dari loji air menghadapi gangguan ketiadaan air bersih sehingga berminggu-mingu lamanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas daripada Bersatu, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kawasan yang kerap berlaku gangguan air ialah dikawasan tinggi iaitu Batu 6 Jalan Apas, Kampung Jawa Kongsi 10, Tinagat, Batu Payung, Ranggu, Membalua, Taman PPR Sri Apas Batu 8, Bandar Sri Indah dan sekitarnya.
“Setiap hari saya menerima panggilan dari penduduk yang terlibat dengan masalah tersebut dan selaku wakil rakyat yang biasa sahaja yang tidak ada jawatan kerajaan dan tiada sumber memang tidak mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang sering terganggu di kawasannya.
Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan Belanjawan Sabah 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, kelmarin.
Berikutan pembangunan semakin bertambah dan permintaan air semakin meningkat tetapi keupayaan loji tidak bertambah dan sumber air bersih semakin berkurangan, beliau memohon agar pembinaan Empangan Air Tawau dapat dipercepatkan agar pengurusan sumber air mentah dapat dibuat sebaik mungkin.
Nizam juga memohon agar kapasiti loji air di utara dan loji cintamata dapat ditambah dan program pengurusan NRW diluluskan dan dilaksanakan secepat mungkin.
Beliau juga mencadangkan dan memohon agar loji rawatan air yang baru dapat dibina di Sungai Apas untuk mengatasi masalah gangguan bekalan air bersih kepada kawasan terlibat dan keperluan air yang meningkat.
Nizam mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony atas tindakan segera selepas lawatan beliau ke Tawau pada pertengahan tahun ini.
“Dalam lawatan itu beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membaikpuli jalan-jalan JKR yang rosak dan berlubang di kawasan DUN Apas dan jalan-jalan ini kini sedang dibaikpulih,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ