Anggota polis dengan bantuan pihak bomba membawa balik mayat mangsa ke Kunak
Oleh Ahmad Tamrin
KUNAK: Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing berumur dalam lingkungan 30an hingga 40an tahun ditemui terapong di perairan laut Pantai Sarina , Kampung Pangi dekat sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Supt Baharin Md Tahir berkata seorang lelaki dalam perjalanan pulang daripada memancing telah membuat penemuan tersebut pada jam lebih kurang 6.45 pagi dan memaklumkan kepada pihak polis.
Sepasukan polis telah bergegas ke lokasi dengan menaiki bot dari Balai Bomba dan Penyelamat Kunak untuk membawa mayat balik sebelum dihantar ke Hospital Kunak bagi tujuan pemeriksaan forensik, kata Baharin.
Mangsa memakai kemeja T hitam lengan pendek, seluar jeans biru di paras paha dan memakai jam tangan di sebelah kiri jenama tidak pasti yang masih berfungsi, katanya lagi.
Hasil pemeriksaan forensik mendapati tiada kesan luka dalaman badan mangsa, kesan luka di kepala mangsa kemungkinan boleh disebabkan gigitan hidupan laut kerana tiada kesan calar atau retak pada tempurung kepala mangsa, kata Baharin.
Doktor menyatakan mangsa mati kerana lemas dan sudah mati dalam tempoh 1 atau 2 hari kerana kuku mangsa masih belum tercabut, tambah beliau.
Menurut Baharin, mayat yang tidak dikenalpasti ini berkemungkinan warga asing kerana tidak mempunyai kesan suntikan BCG. Setakat ini tidak ada terkesan individu atau laporan polis dibuat kehilangan keluarga di laut.
Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR).

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ