Oleh: Nio James
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Bobbey Suan (gambar) mencadangkan agar kerajaan memberi fokus pembangunan sekolah di kawasan luar bandar khasnya di Nabawan dan Pensiangan.
Katanya, kekurangan capaian teknologi maklumat di sekolah kawasan luar bandar telah dikenalpasti menjadi kekangan kepada penerimaan maklumat dan perkembangan teknologi semasa.
“Kesukaran yang dihadapi oleh sekolah-sekolah di kawasan pedalaman adalah dari segi infrastruktur sekolah dan ini termasuk dari segi capaian teknologi terkini seperti internet dan jaringan telekomunikasi.
“Dengan ini saya mencadangkan untuk hasrat ini dikemukan kepada Kementerian Pelajaran dan Inovasi untuk melihat aspek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ke-15 disini hari ini.
Menurut Bobbey, pihak atasan perlu turun padang untuk mengetahui keadaan di sekolah-sekolah pedalaman bagi mengetahui keperluan yang sewajarnya dinaiktaraf untuk kesenangan para guru dan murid-murid.
“Jika dilihat, di SMK Sepulut, ada asrama disediakan yang mana asrama ini telah menjadi tempat tinggal bagi lebih 500 pelajar yang mana asrama ini telah pun dibina sejak 10 tahun lalu, dan sehingga kini masih terdapat banyak masalah kemudahan infrastruktur yang belum diselesaikan.
“Masalah bekalan air adalah masalah utama yang dihadapi oleh penghuni asrama ini yang mana apabila musim kemarau dan langsung tidak ada bekalan air, mereka terpaksa mandi di sungai berhampiran asrama mereka, dan pastinya ini adalah amat berbahaya kerana sebelum ini telah ada satu kejadian malang yang menimpa murid yang mandi di sungai tersebut mati dan seboleh-bolehnya kita mahu menghalang masalah itu berulang lagi kepada murid lain yang menghuni asrama ini,” katanya.
Tambah Bobbey lagi kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat juga wajar meneliti masalah di kawasan klinik kesihatan khasnya dari segi penyediaan infrastruktur kesihatan asas yang lengkap dan baik.
“Untuk makluman sidang dewan, Klinik Kesihatan Jenis IV hanya mampu untuk memuatkan enam katil pesakit wanita dan enam katil pesakit lelaki yang mana kekangan ini telah memaksa kes-kes kritikal di kawasan tersebut terpaksa di bawa ke Hospital di daerah lain yang berhampiran misalnya di Keningau.
“Jarak yang terpaksa dilalui adalah agak jauh dan memakan masa dan kerana itu saya amat memohon jasa baik dan perhatian daripada pihak kerajaan untuk meninjau dan menaiktaraf khasnya dalam isu kesihatan yang mana kerajaan boleh menaiktaraf klinik kesihatan daerah menjadi Hospital Daerah dengan menambah kemudahan asas seperti dewan bedah mini, unit tabung darah serta sistem wad yang lebih teratur,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ