BERI KEUTAMAAN ATASI MASALAH BEKALAN AIR BERSIH DI SIPITANG MRNGKUMI LUMADAN DAN SINDUMIN

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Matbali Musah (gambar) meminta agar kerajaan Negeri memberi keutamaan dan menggunakan peruntukan pembangunan infrastruktur yang dirancang dalam Belanjawanan Bajet Negeri Sabah 2020 untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih terutama di kawasan Parlimen Sipitang meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan dan Sindumin.

“Peruntukan yang disediakan perlu digunakan sebaiknya bagi menyelesaikan masalah kekurangan infrastruktur kepada rakyat seperti masalah bekalan air bersih yang telah dialami sejak sekian lama.

“Setia hari ada saja kampung di kedua-dua DUN tersebut yang mengalami masalah bekalan air bersih dan ada juga yang lebih teruk sehingga lebih seminggu terputus bekalan air bersih dari pili mereka dan saya dapati ada rakyat yang mulai berasa kurang senang kerana bekalan air yang terputus itu dikatakan berpunca daripada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo oleh kontraktor yang dilantik kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa sesi perbahasan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua DUN kali ke-15 disini hari ini.

Menurut Matbali, masalah itu turut membawa kerugian kepada Jabatan Bekalan Air Sabah berikutan kerana ada berlaku masalah kebocoran paip yang menyalurkan air.

“Bukan saja orang kampung dan peniaga-peniaga tempatan yang mengalami masalah kerana terputus bekalan air, bahkan Jabatan Air juga mengalami kerugian apabila paili yang pecah tidak diselenggara dengan baik dan air bersih bertakung berhari-hari tidak dibaiki,” katanya.

Matbali mencadangkan untuk pihak kerajaan memberi tangki air yang boleh menjadi tempat air bersih dikumpul oleh penduduk kampung bagi mengatasi masalah bekalan air.

“Saya juga ingin memberitahu adalah perlu sekiranya Jabatan Air Sabah mengeluarkan notis makluman sekiranya akan berlaku gangguan masalah bekalan air di kawasan supaya penduduk kampung dapat membuat persediaan awal.

“Selain itu, harus dipantau dan dilihat juga kualiti bekalan air yang disediakan kerana seringkali air yang diterima oleh penduduk kampung adalah air yang keruh, seakan-akan air sungai berlumpur,” katanya.

Dalam pada itu, Matbali turut menyarankan kepada kerajaan Negeri untuk mewujudkan ‘Zon Perindustrian’ di setiap daerah bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan daya saing dalam industri sekaligus membangunkan negeri.

“Ini selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang telah dilancarkan oleh Kerajaan baru-baru ini, yang bertujuan untuk merapatkan jurang pembangunan di antara daerah-daerah yang begitu ketara khususnya di kawasan luar bandar Sabah.

“Jadi, adalah baik sekiranya kerajaan mewujudkan ruang melalui penubuhan ‘Zon Perindustrian’ di setiap daerah,” katanya.