Rakam (topi putih) diberi taklimat oleh Datuk Aznam semasa meninjau ladang nanas KOPEKAP Pekan, Pahang
PEKAN: Prosedur kuarantin dan biosekuriti perlu sentiasa dipatuhi oleh pengeksport dan pengimport dalam proses membawa masuk bahan tumbuhan atau buah-buahan segar ke Sabah.
Selari dengan Akta Kawalan Tumbuhan 1976 (Akta 167) maka setiap pengimport perlu melakukan prosedur pemeriksaan pra syarat dan memastikan setiap keperluan dipenuhi.

Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Rakam Sijim menegaskan bahawa walaupun kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelaburan baru dan aktiviti import eksport, tetapi kawalan berterusan perlu sentiasa diteruskan.
Rakam berkata demikian mewakili Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah semasa menghadiri lawatan ke Ladang Nanas MD2 milik Koperasi PEKAP Berhad di Pekan, Pahang baru-baru ini.

“Kita perlu memastikan setiap bahan tanaman yang dibawa masuk adalah berkualiti, tulen serta bebas daripada sebarang penyakit dan serangga perosak.”
Ini bagi memastikan Sabah kekal sebagai tempat sumber bahan tumbuhan dan tanaman yang berkualiti, bukan menjadi negeri longgokan bahan tanaman kelas kedua, katanya.

Malah walaupun sesebuah entiti menerima kelulusan permit, tetapi kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Pertanian Sabah akan terus memantau dan boleh membatalkan permit yang telah dikeluarkan sekiranya berlaku sebarang perlanggaran syarat.
Rakam turut memuji usaha Koperasi PEKAP Berhad yang bukan sekadar mahu menjadi pengeksport, tetapi juga mahu membantu membangunkan industri pertanian secara khususnya nanas varieti MD2 di Sabah.
Sementara itu dalam majlis yang sama, Pengerusi Koperasi PEKAP Berhad, Dato’ Ir Noor Azmi Jaafar memberi jaminan Koperasi PEKAP akan sentiasa menghormati peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Sabah.

Malah katanya, Koperasi PEKAP berhasrat untuk membantu dalam pengembangan industri nanas varieti MD2 di Sabah dengan membekalkan benih sulur berkualiti tingggi serta perkongsian kaedah penghasilan sulur yang diiktiraf bersama syarikat tempatan.
Beliau juga berharap agar jalinan kerjasama dapat dibentuk pada masa hadapan supaya dapat memberi faedah bersama terutama dalam pembangunan anak tempatan kelak.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ