Datuk Frankie Poon Ming Fung
Oleh Nio James
KOTA KINABALU: Konvokesyen Kompleks Latihan & Pemulihan Orang Kurang Upaya (KLPOKU) Kimanis menunjukkan bahawa Kerajaan bukan sahaja mengambil berat tentang kebajikan OKU, bahkan membuat perancangan termasuk menyediakan bajet dan berusaha untuk membawa pembangunan untuk golongan itu.
Menteri Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, Kerjaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM 673,010 (Ringgit Malaysia Enam Ratus Tujuh Puluh Tiga Ribu dan Sepuluh sahaja) dalam tahun ini bagi menampung perbelanjaan pengurusan KLPOKU Kimanis.
Katanya, pada tahun ini seramai 75 orang pelatih OKU telah diterima masuk dalam 5 Bengkel Vokasional seperti jahitan, komputer, motor makenik, perabot rotan serta bakeri.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvokesyen KLPOKU, bertempat di The Palace Hotel, disini hari ini.
Seramai 45 orang pelatih di KLPOKU Kimanis menerima sijil tamat latihan dalam Konvokesyen itu.
Frankie berkata, Kerajaan berharap agar kesemua pelatih yang tamat latihan vokasional ini akan mendapatkan pekerjaan.
“Bukan setakat diberi peluang dalam latihan asas tetapi juga dialu-alukan oleh pihak majikan! Dalam kata yang lain iaitu “MARKETABLE”,”.
Untuk mencapai objektif “Marketable”, kita sekurang-kurangnya harus memastikan tiga perkara iaitu bidang vokasional yang ditawarkan adalah “in demand” dan merupakan permintaan ramai.
Sijil yang ditawarkan adalah diiktiraf. Tenaga pengajar yang bertauliah. Hal ini kerana kita percaya bahawa melalui tenaga pengajar yang bertauliah mampu menghasilkan pelatih yang mempunyai kemahiran yang bermutu,” katanya.
Frankie berkata, Kementerian Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat Sabah juga telah menjadikan pencapaian KLPOKU sebagai “Key Performance Index” atau KPI Kementerian.
“Kita mahukan 80% daripada pelatih-pelatih yang diterima masuk ke KLPOKU Kimanis dapat lulus dengan jayanya.
Selagi KLPOKU dijadikan sebagai KPI Kementerian, ini bermakna kita mengambil berat tentang perkembangan dari segi pencapaiannya,” katanya.
Beliau berkata, Kementeriannya akan memastikan keperluan dari segi tenaga manusia, kewangan serta infrastruktur ditemui bagi mencapai kejayaan ini.
Selain daripada itu, KKKR juga akan memastikan sijil-sijil yang ditawarkan mendapat pengiktirafan daripada badan korporat yang bertauliah.
“Saya difahamkan untuk tahun depan, bidang operasi komputer akan diiktiraf dengan kerjasama CAL Computer Learning Centre, bidang bakeri pula dengan kerjasama pihak ATI College manakala bagi bidang jahitan dengan pihak SJ Tailor & Kemahiran,” katanya.
Selain daripada itu, Katanya LPOKU juga menawarkan bidang motor mekanik dan bidang perabot rotan, di mana pihak Jabatan adalah dalam usaha mencari pusat bertauliah untuk berkerjasama dalam mengiktiraf sijil bagi bidang tersebut.
“Kita sememangnya menuju ke arah pengiktirafan kesemua bidang vokasional yang ditawarkan di KLPOKU, Kimanis.
Program “Job Coach ” juga akan diberi perhatian bagi membantu “memasarkan” pelatih-pelatih kepada korporat dan syarikat-syarikat,” katanya.
Frankie berkata, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah akan melatih dan menghasilkan lebih ramai “Job Coach” untuk melatih pelatih-pelatih OKU selama 3 hingga 6 bulan agar majikan berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh para pelatih.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia akan membayar token sebanyak RM 15.00 sejam dengan tidak melebihi RM 900.00 sebulan kepada “Job Coach” berkenaan.
Katanya, semua langkah-langkah dan tindakan yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa Kerajan mengambil berat perihal setiap lapisan masyarakat, selari dengan slogan bagi Sambutan Hari Orang Kurang Upaya pada tahun ini “Leave No One Behind”.
“Saya percaya Kementerian saya melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah akan sentiasa memantau dan menambah baik kualiti pengajaran supaya Institusi Latihan in dapat menghasilkan pelatih yang bermutu tinggi dari segi kemahiran serta sikap yang positif sekali gus menyumbang kepada kemajuan Negara kita,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ