PUSAT BANTUAN GUAMAN JHEWA BANTU 200 WANITA SABAH DI MAHKAMAH

TAWAU: Seramai 200 wanita Sabah mendapat manfaat daripada Pusat Bantuan Guaman, Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) negeri ini  sejak khidmat guaman itu dimulakan tahun lalu.

Salah seorang peguamnya, Noor Azah Abd Rahmah berkata pelbagai kes berkaitan kekeluargaan dirujuk kepada pihaknya dan individu yang layak menerima bantuan guaman akan dibayar oleh kerajaan.

“Mereka tidak perlu membayar walau satu sen pun dengan antara kriteria yang menjadi keutamaan untuk diberi bantuan melibatkan ibu tunggal, mereka yang miskin dan susah serta berpendapatan B40,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Kesejahteraan Rakyat dan Undang-Undang di Auditorium Perpustakaan Tawau, yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Batu, Datuk Hamisa Samat, hari ini.

Noor Azah berkata bagi pihaknya terbuka dalam memberi nasihat guaman kepada lelaki selain wanita, namun untuk khidmat bantuan peguam mestilah warga tempatan, atau kes wanita yang tertangguh di mahkamah selama bertahun yang boleh dipertimbang diselesaikan.

Dalam pada itu, katanya meskipun pusat bantuan guaman itu terletak di Wisma Wanita di Kota Kinabalu, pihaknya juga membuka klinik guaman di lokasi setiap program seminar diadakan.

“Dari situ kita mendapat klien daripada setiap daerah dan selalunya kes seperti perkahwinan, penceraian, tuntutan harta pusaka, nafkah anak, mutaah dan sebagainya sebab kita ada 10 panel peguam.

“Dan setakat ini belum ada perancangan untuk membuka di daerah lain tetapi kita tidak tahu mungkin ada perancangan kerajaan pada masa akan datang,”katanya lagi.

Jelasnya, purata klien yang datang mendapatkan khidmat nasihat guaman mencecah 30 orang sebulan malah Mahkamah Syariah turut mencadangkan wanita yang berdepan isu perundangan supaya  mendapatkan peguam daripada guaman JHEWA.

Sementara itu Hamisa ketika merasmikan program berkenaan meminta masyarakat terutama golongan wanita yang teraniaya memanfaatkan pusat khidmat bantuan guaman JHEWA ini.

Katanya pelaksanaan program amat bertepatan untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat.

“Slot ceramah yang disampaikan amat menarik dan sangat penting kepada masyarakat mengenai undang-undang khususnya perkahwinan dan perceraian, keganasan rumah tangga dan juga penyalagunaan dadah,” katanya lagi.