Bot mangsa yang ditemui terapung tanpa nakhoda
Oleh Kahar Ali
SANDAKAN : Seorang nelayan warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika keluar memukat di perairan Pulau Berhala di sini, awal pagi semalam.
Mangsa yang dikenalpasti sebagai Bintang Cahaya atau nama panggilan Armin berumur 28 tahun dikatakan keluar memukat ikan bersama rakannya dengan menaiki bot secara berasingan pada pukul 4 pagi.
Namun, kehilangannya mula disedari pada pukul 11.30 pagi selepas botnya ditemui terapung tanpa nakhoda. Pukat dan barang peribadi mangsa termasuk telefon bimbit masih berada di atas bot.
Bot kemudiannya ditunda ke rumah keluarga mangsa di Kampung Berhala. Aduan seterusnya dibuat oleh anak saudara mangsa dengan menghubungi talian kecemasan MERS 999 sebelum disambungkan ke Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Negeri Sabah.
Bertindak atas maklumat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada pukul 4.35 petang hari yang sama. Tiga bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian dibantu oleh tiga buah bot orang kampung.
Hari ini operasi SAR masuk hari kedua dan dibahagikan kepada enam sektor pencarian seluas 37.97 batu nautika persegi dengan penglibatan dua bot dari Maritim Malaysia manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masing-masing menghantar sebuah bot dengan kekuatan anggota keseluruhan seramai 29 orang.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki mengingatkan orang ramai agar segera menyalurkan sebarang aduan atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089- 229504 atau talian MERS 999.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ