Mayat nelayan warga Indonesia diangkat anggota Maritim Malaysia ke kenderaan polis untuk dihantar ke Hospital
Oleh Kahar Ali
SANDAKAN : Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) seorang nelayan warga Indonesia yang dilaporkan hilang kelmarin akhirnya ditamatkan pada pukul 11.00 pagi tadi setelah penemuan mayat yang disahkan ahli keluarga sebagai mangsa yang hilang.
SAR yang masuk hari ketiga pada hari ini melibatkan dua buah bot dari Maritim Malaysia dan empat lagi dari TLDM, PDRM, BOMBA dan APM masing-masing menghantar sebuah bot dengan keluasan pencarian sehingga 46 batu nautika persegi.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, mayat Bintang Cahaya (Armin) berumur 28 tahun itu ditemui oleh nelayan pantai yang turut serta dalam operasi pencarian telah menemui mangsa di lokasi lebih kurang 1.9 batu nautika timur Pulau Berhala pada pukul 9.40 pagi.
Mayat tiba di Jeti Zon Maritim Sandakan APMM pada pukul 10.15 pagi untuk pengecaman oleh ahli keluarga dan seterusnya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut, kata Zainudin.
“Pihak Maritim Malaysia merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi serta komuniti nelayan yang terlibat sepanjang operasi SAR dijalankan,” kata beliau ketika ditemui disini.
Zainudin turut mengingatkan komuniti maritim khususnya para nelayan agar sentiasa memberikan perhatian kepada aspek keselamatan sepanjang berada di laut pada musim tengkujuh ini.
Sebarang aduan atau kecemasan di laut boleh dilakukan dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089- 229504 atau talian MERS 999, tambahnya lagi.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ