PETER: KIRA-KIRA RM28 JUTA DIPERLUKAN BAIKI JALAN RAYA RUNTUH

Peter (tengah), Jo-Anna (kiri) dan Rakam (kanan) memeriksa jalan Tamparuli-Kiulu di Km 4.5 yang rosak akibat runtuh

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Kira-kira RM28 juta diperlukan untuk membaiki jalan raya di Km 96 Jalan Kota Kinabalu-Ranau dan di Km 4.5. Jalan Tamparuli-Kiulu yang rosak akibat runtuh.

Ketika mengumumkan perkara itu semalam, Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, kos untuk membaiki bahagian jalan raya yang rosak di JalanKota Kinabalu-Ranau akan menelan belanja antara RM20 juta hingga RM25 juta.

“Manakala kerja pembaikan jalan raya di JalanTamparuli-Kiulu, termasuk memasang paip perparitan di sekitarnya, dijangka menelan belanja sebanyak RM2.5 juta hingga RM3 juta,” katanya.

Tanah runtuh di JalanTamparuli-Kiulu, yang berlaku antara jam 3.00 pagi dan 3.30 pagi semalam, telah memisahkan jurang 28 meter di laluan tersebut.

Peter, yang membuat pemeriksaan jalan raya runtuh di Kiulu semalam, berkata pembaikan di laluan itu akan dimulakan dengan serta-merta dan dijangka dapat dilalui kenderaan kurang dari 24 jam.

Beliau berkata lorong atau laluan sementara akan dibina di bahu jalan untuk membolehkan kenderaan melalui jalan tersebut.

“Dalam tempoh kurang dari 24 jam, jalan raya ini akan dapat dilalui kenderaan,” katanya.

Katanya, kerosakan jalan raya tersebut disebabkan oleh pergerakan tanah akibat hujan lebat.

Beliau berkata, pada masa ini, kenderaan akan menggunakan laluan alternatif melalui jalan raya Kampung Rangalau Baru.

Sementara itu, Peter berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa yang berkaitan awal pagi tadi ke atas tanah runtuh di jalan raya Kota Kinabalu-Ranau, yang berlaku pada malam Ahad.

“Hasil perbincangan ini memutuskan bahawa penyelesaian terakhir ialah membersihkan serpihan dan membina laluan sementara sebelum kita menerima peruntukan untuk membina semula laluan asal.

“Jalan raya sementara boleh dilalui kenderaan dari Ranau ke Kundasang, dan dari Sandakan ke Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau menjangkakan kerja pembaikan dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga hari, bergantung pada keadaan cuaca.

Peter berkata kejadian tanah runtuh yang menyebabkan kira-kira 80 meter Jalan Kota Kinabalu-Ranau runtuh dipercayai disebabkan kerja tanah untuk aktiviti pertanian dan pembinaan rumah.

Katanya tiga jalan raya yang tidak dapat dilalui kenderaan kerana tanah runtuh sejak Isnin lalu, yang lain adalah jalan raya di Membakut.

Beliau berkata, terdapat tanah runtuh berlaku di lereng bukit di jalan raya Membakut pagi semalam tetapi pihak berkuasa yang berkenaan telah diarahkan untuk membersihkan serpihan itu dengan segera untuk membolehkan kenderaan melaluinya.

Peter menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati, terutamanya apabila memandu dikawasan lereng bukit dari Tamparuli ke Ranau semasa musim hujan.

Beliau berkata kementeriannya akan mengeluarkan amaran menerusi media sosial dan radio mengenai penutupan jalan raya seperti jalan raya Tamparuli-Kiulu pagi tadi manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memantau keadaan dan masalah jalan raya.

Peter ditemani Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Jo-Anna Sue Henley Rampas yang juga Ketua Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagiaian Kiulu, Pengarah JKR Negeri Sabah Datuk Richard Jomiji Kinsil, Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah Rakam Sijim yang juga Ketua Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagiaian Sulaman dan Ahli Majlis Tertinggi Warisan Negeri Sabah Henry Siompon.