JETI BAHARU DI DATARAN REGATTA LEPA MAMPU JADI TARIKAN PELANCONG KE SEMPORNA

SEMPORNA: Jeti umum yang dinaik taraf dengan kos RM1.2 juta di Dataran Regatta Lepa di sini mampu menjadi tarikan pelancong yang datang ke Semporna.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakong berkata jeti yang menggunakan tenaga solar untuk sistem pencahayaannya itu juga dilengkapi lampu di bawah jambatan yang boleh dihidupkan pada waktu malam dan ketika air pasang.

“Penaiktarafan jeti itu mula dilaksanakan sejak awal Ogos iaitu lebih awal daripada perancangan dan siap dalam tempoh kurang empat bulan sahaja.

“Saya berharap sesiapa sahaja yang menggunakan prasarana ini, sama ada datang dari pulau ke pekan, supaya menjaganya dengan sebaiknya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan jeti berkenaan kelmarin.

Jaujan, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, berkata jeti di pulau sekitar juga akan dinaik taraf pada masa depan bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk, termasuk pelancong.