Zakaria (duduk tengah) bersama pihak penganjur dan hadirin semasa program di PPR Taman Muhibbah
SANDAKAN: Semangat persaudaraan, perpaduan dan kerjasama kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di kawasan Libaran perlu terus dipelihara dan diperkukuh.
Pada masa sama masyarakat di kawasan itu juga perlu menolak sebarang anasir luar dan isu-isu yang cuba memecah belah dan menggugat perpaduan sedia ada.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Hj Mohd Edris berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap lapisan masyarakat di kawasan Libaran untuk mengekalkan keharmonian serta perpaduan sedia ada demi manfaat bersama.
Katanya, perpaduan dan keharmonian merupakan teras penting dalam membentuk kestabilan politik dan kemakmuran negara yang membolehkan kerajaan merancang pelbagai bentuk pembangunan demi manfaat rakyat keseluruhannya.
Beliau ditemui media selepas merasmikan Program Santai Bersama Pemimpin di Dewan PPR Taman Muhibbah, Batu 12 Rancangan Sungai Manila kelmarin.
Hadir sama, Ketua Armada Libaran, Sholehuddinulfatih Mardin dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Taman Muhibbah, Asmadan Asmat.
Mengenai program sehari anjuran Armada Libaran dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Taman Muhibbah itu, Zakaria berkata, ia landasan terbaik untuk memupuk semangat perpaduan pelbagai kaum di kawasan itu.
Pada majlis itu diadakan penyampaian sumbangan kepada Masjid Raya Seri Aman, Pekan Muhibbah, bantuan barangan keperluan kepada warga emas, dan penyerahan jersi kepada pasukan yang mengambil bahagian dalam program tersebut.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ