KDN TIDAK SEHARUSNYA CAMPUR TANGAN URUSAN GEREJA, KATA BUMBURING

Oleh: Wartawan Berita Sabah

KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) hari ini membidas kejadian di mana beberapa pegawai dari kementerian dalam negeri dikatakan telah “menasihati” para pegawai sebuah badan gereja tentang bagaimana buku yang digunakan di dalam acara gereja itu direka-bentuk.

Presiden PCS Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing berkata, ada beberapa pegawai yang telah datang ke pejabat gereja itu dan bukan sahaja mereka memeriksa buku-buku yang diterbitkan oleh badan gereja tersebut tetapi mereka juga memberi beberapa arahan tentang perkara yang lain.

“Saya telah diberitahu bahawa para pegawai ini telah mengarahkan para pegawai gereja berkenaan untuk tidak menggunakan empat istilah, khususnya kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan Sholat. Tambahan pula, mereka memberitahu para pegawai gereja berkenaan mengenai cara kulit buku mereka direka-bentuk dan saiz huruf yang digunakan. Walaupun perkara ini kelihatan seperti satu kes yang jarang berlaku namun perkara ini tidak seharusnya terjadi.” Kata Bumburing.

“Jangan campur tangan dalam urusan agama lain,” tegas Bumburing.

Bumbring berkata lagi bahawa PCS akan menentang sebarang gerakan atau cubaan oleh mana-mana agensi kerajaan atau badan lain yang cuba menentukan bagaimana gereja Kristian harus menjalankan urusan pentadbiran mereka lebih-lebih lagi berkaitan cara kebaktian di dalam sesebuah gereja Kristian itu dijalankan.

“Berdasar kepada semangat Batu Sumpah, PCS akan mempastikan agar Sabah akan terus menikmati kebebasan beragama dan kekal sebagai sebuag negeri sekular sebagaimana dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Persetujuan Malaysia 1963,” tambah Bumburing.

Dia juga menegaskan bahawa tidak perlu agama seorang warganegara dicatatkan di dalam MyKad dan amalan seperti ini harus dihentikan.

“Di dalam kerajaan baru nanti selepas PRU14, PCS akan mempastikan bahawa pengajaran dan pembelajaran Alkitab dan Ketuhanan (Teaching of Scripture dan Divinity) bagi pelajar-pelajar bukan Islam daripada Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 6 dikembalikan,” Kata Bumburing.

Seorang Timbalan Menteri UMNO baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan, dan kenyataan tersebut tidak dinafikan oleh pucuk pimpinan UMNO, bahawa UMNO akan membawa Malaysia menjurus kepada sebuah negara Islam.

“Kita tidak nafikan bahawa Islam adalah negara rasmi Malaysia; namun demikian, Malaysia harus kekal sebagai sebuah negara sekular. Tiada pihak lain yang harus menjadi dominan ke atas pihak yang lain,” Bumburing menjelaskan.