Para peserta tamat latihan kemahiran kursus `Certificate in Facial Skincare & Facial Electrotherapy’ megabadikan gambar kenangan bersama Haji Hasbullah Datuk Haji Rauddah (duduk tengah), Maria dan Salina.
….Hari ini Rozsall telah melahirkan seramai 17 graduan untuk kursus `Certificate in Facial Skincare & Facial Electrotherapy’
KOTA KINABALU: Rozsall Salon & Beauty Academy (ROZSALL) komited untuk menyediakan latihan kemahiran melalui kursus penjanaan pendapatan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan (AZAM) disediakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Pengarah Urusan ROZSALL, Salina Ali berkata, Rozsall telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan latihan kemahiran oleh MAFI sejak tahun 2012 lagi dan ini merupakan kali ketiga.
Katanya, sejak dilantik menjadi penyedia latihan untuk program ini, Rozsall telah melahirkan seramai 48 orang graduan.
“Hari ini adalah kursus yang ketiga diadakan yang melahirkan 17 orang graduan. Terdahulu, kami telah melaksanakan 21 peserta yang mengikuti kursus Mekap Pengantin dan 10 peserta yang mengikuti kursus Body Electrotherapy & Body Massage yang telah diadakan di daerah Semporna”, katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan dan penyampaian sijil kursus/latihan penjanaan pendapatan dibawah Program Azam Fasa 1/2019, bertempat di Ibis Style Hotel, Inanam dekat sini hari ini.
Ia disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Haji Hasbullah Datuk Haji Rauddah, dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta.
Salina berkata, sepanjang kursus itu berlangsung para peserta telah diselitkan dengan sesi motivasi untuk menyuntik semangat mereka dan juga program pemasaran sosial media untuk membantu mereka mendapatkan pelanggan melalui platform sosial media.
“Selain itu kita juga memberikan mereka asas perniagaan untuk mereka mengetahui cara-cara untuk mengendalikan pernaigaan atau membuka peniagaan sendiri.
Kita juga membuka peluang bagi mereka untuk mencari pekerjaan dimana kita juga membawa majikan-majikan yang ingin mencari pekerja untuk memberikan mereka peluang pekerjaan.

Jadi peserta ini mempunyai dua pilihan samada untuk menjana pendapatan atau untuk bekerja,” katanya.
Salina menasihati para peserta yang telah tamat kursus agar menanam sifat jati diri yang kuat, perlu berdiri diatas kaki sendiri, berdikari dan menguatkan semangat.
“Mereka juga hendaklah mengunakan sepenuhnya latihan kemahiran yang telah diberikan.
Menggunakan produk dan peralatan yang diberikan percuma kepada mereka untuk kebaikan diri dan juga untuk memperbaiki keadaan ekonomi keluarga,” katanya.
“Ini adalah kursus terakhir yang kita kendalikan untuk tahun ini. Jika diberi peluang kita akan terus bekerjasama dengan MAFI untuk mengendalikan kursus pada tahun hadapan,” kata Salina.

Salina berkata, bukan mudah untuk melaksanakan program Azam atau e-Kasih kerana peserta yang dipilih mesti mempunyai minat dan komited untuk mengikuti program tersebut.
“Peserta juga hendaklah komited mengubah keadaan hidup keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Salina berkata, Rozsall kini mempunyai tiga cawangan iaitu di Kuching, Lawas dan Kota Kinabalu.
Katanya, sejak ditubuhkan pada 2007, Rozsall telah melahirkan lebih 2,500 peserta daripada Sabah. Daripada jumlah itu 40 peratus peserta merupakan golongan e-Kasih melalui penajaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), MAFI serta lain-lain agensi Kerajaan.
“Lebih daripada 30 peratus berjaya dalam perniagaan selebihnya beminat untuk bekerja.
Sementara itu, Puan Maria David Edict, mewakili Setiausaha Tetap MAFI berkata, Program Pembasmian Kemiskinan (Azam) memberi peluang golongan berpendapatan rendah menyertai latihan kemahiran melalui syarikat swasta yang dilantik.
“Rozsall telah dilantik untuk mengendalikan latihan kemahiran dalam bidang kecantikan dan spa dan kita dapati Rozsall telah melaksanakan latihan ini dengan baik sekali,” katanya.

Haji Hasbullah Datuk Haji Rauddah dalam ucapan penutupan kursus kemahiran latihan itu berkata, para peserta yang telah tamat kurus hendaklah menggunakan sepenuhnya latihan yang diperolehi untuk memajukan diri serta meningkatkan pendapatan keluarga.
Katanya, ilmu yang diperolehi daripada kursus itu merupakan peluang yang amat berharga sebagai bimbingan untuk mereka maju ke hadapan.
Beliau berkata, ProgramAZAM ini akan membantu golongan sasar menjana pendapatan bagi memastikan tahap kehidupan sosial dan ekonomi mereka meningkat.
“Kita harap para peserta akan mampu berdikari dan meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ