SHAFIE: PUPUK, KEKALKAN BUDAYA SALING HORMATI MEMBOLEHKAN RAKYAT SAMBUT PELBAGAI PERAYAAN DALAM SUASANA HARMONI

YAB Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Hj. Apdal, Ketua Menteri Sabah

Oleh Nio James

KOTA KINABALU: Meraikan apa juga perayaan adalah cara dan budaya rakyat Malaysia di Sabah, yang penuh dengan kesepakatan dan semangat muhibah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Haji Apdal berkata, rakyat Sabah sentiasa bersedia menerima dan menghargai kepelbagaian antara satu sama lain, menghormati keunikan adat dan budaya sehingga menjadikan perayaan Krismas ini lebih bermakna.

“Kita perlu terus memupuk dan mengekalkan budaya saling hormat menghormati dan semangat toleransi yang tinggi bagi membolehkan kita menyambut pelbagai perayaan dalam suasana yang harmoni,” katanya.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada masyarakat Kristian di seluruh negara, khususnya di Sabah.

Hari ini rakyat daripada pelbagai anutan sekali lagi mengucap selamat, bukan sahaja dalam kalangan keluarga tetapi juga kepada sahabat dan rakan taulan yang beragama Kristian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Sambutan Hari Krismas 2019.

Shafie juga mahu rakyat Negeri ini supaya jangan berpecah, jangan berbalah, kerana kita semua orang Sabah, kita raikan kepelbagaian yang kita ada, dari segi kaumnya, budaya dan sebagainya. Pada akhirnya  kita tidak akan dapat membangunkan Sabah sekiranya kita berpecah.

Belau juga menyeru rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mewujudkan kebencian dan rasa tidak percaya kepada Kerajaan, kerana ia boleh menjejaskan pembangunan dan kemajuan yang telah kita kecapi.

“Adalah menjadi hasrat saya untuk melihat rakyat Malaysia  di Sabah terus kukuh dan bersatu padu terutama dalam menghadapi apa juga cabaran dan rintangan,” katanya.

Shafie berkata,  sebagai hadiah Krismas tahun 2019, beliau juga telah mengisytiharkan penambahan  cuti satu hari untuk perayaan Krismas bermula tahun ini.

Ia menjadikan cuti Krismas selama dua hari  iaitu pada 24 dan 25 haribulan.

“Sesungguhnya, Kerajaan prihatin dan mengambil berat terhadap semua bangsa dan kaum di negeri ini, dan pemberian cuti tambahan ini adalah sebagai pengiktirafan sewajarnya buat masyarakat Kristian,” katanya.

Shafie  dan isteri, Datin Seri Panglima Hajah Shuriyani binti Shuaib, mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada rakan-rakan yang beragama Kristian, di seluruh negeri Sabah.