WARGA SANDAKAN DISARAN JAGA KEBERSIHAN DAN KEINDAHAN TAMAN REKREASI DI DAERAH INI

Vivian (3 kanan) bersama tetamu khas lain menyempurnakan perasmian Majlis Menyalakan Lampu di Taman Chong Tain Vun

SANDAKAN : Orang ramai dan pengunjung disaran sama-sama menjaga kebersihan dan keindahan kawasan atau taman rekreasi di daerah Sandakan.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, berkata, ini termasuk Taman Chong Tain Vun yang terletak di Bukit Trig  sini.

“Saya pasti taman ini begitu istimewa buat warga Sandanan dan banyak kenangan tercipta di taman ini sejak dahulu. Ini termasuk ibubapa yang membawa anak-anak mereka beriadah dan menikmati keindahan bandar Sandakan dari atas bukit di sini,” katanya.

“Seperti kita ketahui, pewujudan taman ini juga adalah sebagai satu mercu tanda dan warisan Sandakan serta sebagai ingatan kepada mantan menteri negeri ini, mendiang Datuk Chong Tain Vun,” tambahnya.

Justeru, adalah wajar agar pengguna tidak melakukan laku musnah atau vandalisme kerana ia hanya akan merugikan.

Apa yang lebih penting, katanya, masyarakat memainkan peranan untuk sama-sama menjaga keindahan landskap di taman ini dan terus menjadikan ia salah satu kawasan tarikan bagi kunjungan pelancong dalam dan luar daerah ini dan mengetahui sejarah yang ada.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menyalakan Lampu di Taman Chong Tain Vun, Bukit Trig, disini pada Selasa.

Hadir sama, Anggota Dewan Undangan  Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong, Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Tanjung Papat, Max Million Lee yang mewakili ADUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon, Mohd Nazri Pital yang mewakili Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Wong Foo Tin, Presiden Rotary Club Sandakan, Vincent Chua dan Presiden Rotary Club of Sandakan North, Lim Kim Lu.

Pelbagai acara menarik juga mengisi acara itu yang dihadiri pelbagai lapisan masyarakat.

Pejabat Parlimen Sandakan mengambil inisiatif untuk menaiktaraf dan mengindahkan landskap di taman itu baru-baru ini.

Vivian sebelum itu melakukan lawatan ke kawasan itu dan bertekad untuk melaksanakan cabaran itu.

Selepas empat bulan, kerja-kerja menaiktaraf taman itu telah siap sepenuhnya dan bersedia menerima kunjungan ramai dengan penambahbaikkan dan beberapa wajah baharu.

“Saya berharap warga Sandakan akan sama-sama menjaga keindahan taman ini dan menjadikan ia satu lokasi yang menarik untuk kunjungan mereka dan pelancong dari luar Sandakan,” tambahnya.

Taman Chong Tain Vun Sandakan yang terletak di Bukit Trig itu dibina sebagai memperingati Datuk Chong Tain Vun yang juga bekas Menteri Perhubungan dan Kerjaraya yang telah terkorban bersama pemimpin yang lain dalam nahas kapal terbang di Sembulan, Kota Kinabalu pada 6 Jun 1976.