KES KANAK-KANAK H1N1 STABIL…JKNS telah mengambil tindakan kawalan bagi mencegah perebakan jangkitan tersebut.

YB Datuk Frankie Poon Ming Fung, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Seramai lapan (8) kes Influenza A (H1N1) di kalangan kanak-kanak dilaporkan oleh Hospital Pakar KPJ Sabah, Kota Kinabalu dari 15 hingga 28 Disembver 2019.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Poon Ming Fung berkata, perkara itu disahkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Kes-kes berumur dalam lingkungan umur satu (1) hingga 12 tahun.  Kesemua kes dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan.

Frankie berkata, JKNS merujuk kepada isu tular di media sosial pada 28 Disember 2019 berkaitan penyakit Influenza A H1N1 di kalangan kanak-kanak yang dinyatakan telah mendapat jangkitan di salah sebuah pusat membeli belah di Kota Kinabalu dan dirawat di KPJ Sabah Specialist Hospital, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, berikutan itu JKNS telah mengambil tindakan-tindakan kawalan bagi mencegah perebakan jangkitan tersebut. 

Katanya, pendidikan kesihatan mengenai penyakit Influenza dan cara-cara mengelak jangkitan telah diberi kepada orang ramai. 

Frankie berkata Influenza merupakan jangkitan sistem pernafasan oleh virus influenza bermusim dengan gejala utama seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti kurang selera makan, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan. 

Katanya, demam selsema sangat mudah berjangkit kepada orang lain melalui udara dengan titisan (droplet) cecair daripada mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin.

“Pada kebiasaannya,  penyakit Influenza menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mengidap penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain,” katanya. 

Beliau berkata, penyakit ini boleh dicegah dengan pengambilan vaksin influenza (Annual flu shot) secara tahunan bagi bayi berumur 6 bulan dan ke atas sehingga dewasa. 

Katanya, pengambilan vaksin influenza adalah tidak diwajibkan, tetapi ia dapat membantu mengurangkan komplikasi Influenza yang teruk seperti jangkitan paru-paru (pneumonia), jangkitan saluran pernafasan (bronchitis), ketimbulan penyakit asma (asthma flare up), jangkitan pada telinga (ear infections), jangkitan pada jantung (heart infection) atau radang otak (encephalitis). 

Oleh itu, katanya orang awam secara amnya dan golongan berisiko tinggi secara khususnya amat digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh fasiliti kesihatan swasta di seluruh negeri. 

Frankie berkata, bagi mencegah penularan jangkitan influenza, orang ramai diminta sentiasa mengamalkan langkah-langkah yang mudah seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

Disamping amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer.

Mengamalkan adab batuk yang baik. Mengamalkan cara hidup sihat.

Mereka yang mempunyai gejala jangkitan Influenza adalah dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai.  Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (face mask).

JKNS ingin menasihatkan orang ramai yang mengalami gejala yang sama seperti yang dinyatakan di atas, segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta yang berhampiran sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk / sakit tekak yang berterusan.