LAHAD DATU: Mayat remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terbabit dalam pelanggaran bot di Perairan Pulau Tambisan, pada petang Rabu, telah ditemui petang kelmarin.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba negeri dalam satu kenyataan berkata, mayat mangsa, Abu Basri Jalani,18, ditemui pada kira-kira jam 1.30 petang lebih kurang 50 meter dari jeti sekolah Tambisan Darat oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, pihak bomba dengan kerjasama pelbagai agensi penyelamat membuat operasi pencarian dan menyelamat dengan keluasan dua kilometer.
“Operasi turut dibantu oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Pasukan penyelam (PPDA) Tawau bagi melakukan selaman dalam air dengan kedalaman 500 meter dari lokasi akhir mangsa terjatuh,” ujarnya.
Rabu lepas, PGO Bomba negeri menerima laporan berhubung kejadian dua bot berlanggar sedang dalam perjalanan dari Pulau Tambisan menuju ke Tambisan Darat.
Difahamkan, terdapat tiga mangsa terjatuh ke laut, dua mangsa berjaya diselamatkan manakala seorang lagi hilang dikhuatiri lemas.-OLEH MARLINA MACPEE (New Sabah Times)

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ