MEMBAKUT: Ahli dan penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kimanis perlu memberikan sokongan penuh kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan berkenaan.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sokongan daripada ahli dan penyokong parti itu penting bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Karim yang bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.
Katanya, Warisan yang menerajui kerajaan negeri adalah rakan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui kerajaan persekutuan.

“Memandangkan PH dan Warisan adalah kawan yang akrab, kita mesti tolong.
“Ini tanggungjawab kita sebagai ahli komponen PH dan di dalam saat begini (PRK), kita kena tolong kawan kerana calon Warisan ialah kawan kita maka kita kena turun dan berkempen.
“Sehubungan itu, ahli-ahli dan penyokong Bersatu dalam parlimen Kimanis mesti menyokong dan mengundi calon Warisan yang bertanding dalam PRK Parlimen Kimanis.
“Kita perlu memastikan calon Warisan bukan sahaja menang malah memperolehi jumlah undi yang besar kali ini”, katanya selepas melawat bilik gerakan jentera Bersatu untuk PRK Kimanis di pejabat bahagian Kimanis parti berkenaan, di sini, semalam.
Turut hadir Adun Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif yang juga ketua Bersatu Kimanis; ADUN Lumadan, Matbali Musah yang juga ketua Bersatu Sipitang; timbalan ketua Bersatu Kimanis, Ahmad Yusof; ketua Srikandi Bersatu Kimanis, Dayang Hairena Ag Basir; serta setiausaha Bersatu Kimanis, Surayah Ibrahim.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, jentera Bersatu termasuk Srikandi dan Armada sedang bekerja keras serta berkempen bagi memastikan Karim dipilih menjadi ahli parlimen Kimanis selepas 18 Januari depan.
Katanya, ahli-ahli dan penyokong Bersatu juga perlu berkempen dan memastikan ahli keluarga mereka turut mengundi calon Warisan.
“Ahli-ahli Bersatu hendaklah berkempen bermula dari ahli keluarga dan saudara mara kemudian dengan kawan-kawan demi kemenangan calon Warisan.
“Mereka (ahli Bersatu) juga mesti menjalin kerjasama dan hubungan baik bersama ahli-ahli Warisan dan gabungan PH dalam PRK Parlimen Kimanis demi mencapai kemenangan”, tegas beliau lagi.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius