KFC KONGSI KEGEMBIRAAN BERSAMA GOLONGAN KURANG BERNASIB BAIK

KOTA KINABALU: Musim perayaan masih diraikan dan KFC terus berkongsi kegembiraan dengan memberi kembali kepada masyarakat Sabah.

Sejumlah RM35,000 sumbangan telah disampaikan kepada tujuh buah rumah kebajikan dan organisasi amal di negeri ini.

Empat daripadanya menerima sumbangan berkenaan dalam satu majlis khas yang diadakan di KFC Bandaran Berjaya, di sini, semalam.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) semasa musim perayaan.

Para penerima sumbangan itu terdiri daripada Rumah Kanak-Kanak Don Bosco Bundu Tuhan Ramau, Persatuan Perkhidmatan Komuniti Jireh, Kinabalu Pink Ribbon, The Salvation Army.

Manakala tiga yang lain iaitu Asrama Pride Paitan, PDK Gum Gum Sandakan dan Persatuan Untuk Orang-Orang Pekak, Tawau menerima sumbangan berkenaan di daerah masing-masing.

Rumah Kanak-Kanak Don Bosco Bundu Tuhan Ramau diwakili Rev. Fr Michael Modoit, Persatuan Perkhidmatan Komuniti Jireh, Tuaran (Oliver Majingkal), Kinabalu Pink Ribbon (Nancy Tham), The Salvation Army (Anthony Simon).

Pengurus Besar Kanan QSR Stores Sdn Bhd, YF Lo berkata, sumbangan itu merupakan inisiatif Tabung Penyayang KFC, program khas penjanaan dana dan jangkauan masyarakat.

QSR Stores Sdn Bhd merupakan pengendali restoran KFC di Malaysia.

Menurutnya, dana itu dikumpulkan melalui kotak yang ditempatkan secara strategik di setiap restoran KFC di Malaysia, menggalakkan pelanggan menambah sumbangan mereka sendiri.

Katanya lagi, melalui program itu, sejumlah RM111,000 sumbangan telah diagihkan kepada 25 rumah kebajikan dan organisasi amal di Sabah dalam empat majlis yang berlainan sempena perayaan utama pada 2019.

“Ia termasuk Tahun Baru China, Pesta Menuai, Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Krismas,” katanya.

Lo berkata, KFC Malaysia tetap komited untuk memperbaiki kehidupan masyarakat tanpa mengira kaum atau agama, melalui projek dan program yang berkesan yang akan membawa impak yang boleh diukur.

Rev Fr Michael Modoit mewakili Rumah Kanak-Kanak Don Bosco Bundu Tuhan Ranau menerima sumbangan berkenaan daripada Lim Kok Fung, disaksikan oleh YF Lo (kanan) dan Datin Anna Au (kiri).

Tambah beliau, selama bertahun-tahun, jenama itu telah menubuhkan beberapa inisiatif pemberdayaan komuniti, termasuk KFC Add Hope Malaysia, sebuah pemacu global dalam memerangi kelaparan dunia.

Majlis itu turut dihadiri tiga pegawai kanan QSR Stores Sdn Bhd terdiri Godfrey Binting (Regional Coach), Lim Kok Fung (Pengurus QA) dan Datin Anna Au (Pengurus Pemasaran dan Katering).