Oleh Wartawan BS
MEMBAKUT: Permohonan demi permohonan yang disampaikan kepada UPKO adalah bukti nyata bahawa penjenamaan parti baru-baru ini memang tepat dan progresif.

“UPKO semakin kukuh berdasarkan borang permohonan yang kami terima hampir setiap hari di seluruh Sabah.
“Dalam dua minggu ini sahaja, kita menerima hampir 1,000 borang di Kimanis ini termasuk ramai daripada parti pembangkang,” kata Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

“Selama ini, kepimpinan parti amat yakin bahawa masa hadapan UPKO sangat cerah kerana proses penjenamaan itu dimuktamadkan oleh persidangan perwakilan parti pada tahun 2018.
“Persidangan Tahunan Luar Biasa UPKO pada November 2019 pula sebulat suara mengendos keputusan persidangan terdahulu. UPKO adalah parti berbilang budaya; ia adalah milik semua rakyat Malaysia yang bangga dengan Gunung Kinabalu, mercu tanda alami negara; dan semua yang mahu progresif,” tambah beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Madius berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan ringkas beliau dalam majlis santai bersama pemimpin di Kampung Minopon, di sini, petang tadi.

Dalam ucapan, beliau berseloroh mengenai parti-parti pembangkang yang tidak habis-habis memperlekehkan UPKO yang dijenamakan, kononnya kerana UPKO tidak lagi diterima oleh masyarakat Momogun.

Terdahulu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili dipetik sebagai mendakwa kononnya Madius mengubah nama UPKO dengan membuang perkataan Momogun menjadi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu kerana Madius tahu orang Kadazandusun dan Murut sudah tidak suka UPKO.
“Kepimpinan UPKO faham dengan andaian dan pemahaman mereka (pembangkang) yang agak cetek serta tersasar jauh. Tidak mustahil mereka terasa kerana ahli mereka sendiri meninggalkan mereka dan menyertai UPKO.
“Kami akan terus lipat gandakan usaha, mengamalkan kepimpinan berprinsip dan berpelayanan demi esok yang lebih indah bagi warga Kinabalu. UPKO akan ada fokus, berani dan ikhlas, mengangkat Sabah ke tahap yang lebih terbilang,” katanya.
Madius menambah, “Andai tidak ada yang berubah, dan semuanya kekal seadanya. Dan bila semua kekal seadanya, kita tidak progresif; Sabah tidak progresif.
“UPKO memperjuangkan kemajuan. UPKO mengalu-alukan individu yang progresif untuk memimpin rakyat dan membina Sabah yang progresif. Itu perjuangan dan doa UPKO.”

Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, Naib Presiden Datuk Dr Lucas Umbul, Setiausaha Agung Nelson Angang dan ahli-ahli Majlis Tertinggi UPKO yang lain.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius