Oleh Wartawan BS
TUARAN: Setiap kali menjelang musim perayaan termasuklah Tahun Baru Cina (CNY) yang bakal disambut hujung minggu ini, kedai gunting rambut pastinya menjadi tumpuan
Sehubungan itu, Kelab Anak Muda Tuaran dengan kerjasama Pergerakan Komulakan UPKO Tuaran telah melaksanakan inisiatif dengan menganjurkan program Gunting Rambut Percuma sempena CNY, di sini, hari ini.

Program yang bermula dari jam 10 pagi hingga 3 petang itu turut mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai lebih 100 menyatakan akan datang untuk gunting rambut secara percuma di tapak SEDCO oleh tukang gunting dari dua salon terpilih, di sini.
Pengerusi Kelab Anak Muda Pekan Tuaran, Ray G Duin berkata, program yang diadakan itu adalah satu daripada pelbagai lagi program yang dianjurkan kelab berkenaan sejak ditubuhkan pada 2017.

“Gunting rambut percuma yang diadakan ini juga adalah sempena dengan program walkabout sempena CNY oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau di sekitar pekan Tuaran, hari ini,” katanya ketika ditemui di program berkenaan, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pergerakan Komulakan UPKO Tuaran, Jainysius Sipan.

Ray berkata, Kelab Anak Muda Pekan Tuaran akan lebih aktif dan progresif tahun ini dengan beberapa lagi program sudah berada dalam perancangan mereka.
“Antaranya menganjurkan ‘Battle Of The Band’ dan Antak Gitar yang akan diteruskan pada tahun ini. Program ini juga sangat sukses pada tahun-tahun sebelumnya apabila hampir 10 band hadir setiap program termasuk daripada Amerika, Jerman dan Thailand turut menyertainya dan bayaran yang dibuat kepada mereka sangat rendah.
“Kami sudah sembilan kali menganjurkan Antak Gitar ini dan orang ramai yang ingin menyaksikannya juga dialu-alukan kerana ianya adalah program percuma.
“Selain itu juga, pihak kelab akan berusaha untuk membangunkan penggiat seni di Tuaran dengan mempergiatkan persembahan ‘busking’ di daerah ini,” katanya.
Ray menambah, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan pelbagai program berbentuk pembangunan modal insan bagi menggalakkan belia di Tuaran menjadi pemimpin atau usahawan.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ