PBS PUJI SHAFIE

Oleh Wartawan BS

KOTA MARUDU: Keputusan Kerajaan Sabah pimpinan Parti Warisan Sabab (Warisan) untuk membatal Pas Sementara Sabah (PSS) yang kontroversi adalah kemenangan kepada rakyat Sabah.

Sambil menggambarkannya sebagai keputusan yang tepat, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata Sabah tidak memerlukan PSS.

“Pembatalan PSS adalah satu kemenangan kepada rakyat Sabah, dan kita telah mengatakan berulang kali bahawa dokumen yang dicadangkan ini merosakkan kedaulatan, keselamatan dan kehidupan rakyat Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan terdapat cara lebih baik untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin (PATI) daripada menggunakan PSS.

“Terdapat keperluan untuk membentuk jawatankuasa pilihan di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, dan wakil-wakil rakyat PBS akan berada di sana untuk membantu dan menyumbang.

“Kami memuji Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana menghormati suara pengundi Kimanis, PBS dan parti pembangkang yang lain, serta seluruh rakyat Sabah.

“Kami berharap dan berdoa mereka akan menghormati keputusan ini kerana kerajaan Pakatan Harapan-Warisan terkenal dengan mengubah keputusan,” katanya.

Beliau berkata, PBS akan terus berjuang dan bersuara untuk memastikan bahawa kerajaan pemerintah akan menghormati kata-kata mereka untuk membatalkan pelaksanaan PSS.

“PBS berjanji kepada rakyat Sabah bahawa kami akan terus menyuarakan dan mengawasi kerajaan PH-Warisan supaya membatalkan sepenuhnya PSS,” katanya.