TERAP RUKUN NEGARA DI KALANGAN PELAJAR

Oleh John Tambanan
1 Februari 2020

TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata sekolah berperanan menyatukan pelajar dengan menggalakkan mereka memupuk dan menerapkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan mereka.

Beliau berkata, tugas dalam mengharungi cabaran ini perlu dipikul oleh guru yang menjadi ejen atau teladan demi integrasi antara kaum dan perpaduan negara.

“Keperluan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar dan meningkatkan semangat patriotik mereka berdasarkan prinsip Rukun Negara amatlah penting jika kita ingin melihat dan menjadikan Malaysia negara yang bersatu padu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Pesta Angpau SJK (C) Chi Vun Tenom dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Tenom Mohd Ridhuan Yusof.

Jamawi, yang juga penasihat Lembaga Pengurusan Sekolah dan PIBG SJK (c) Chi Vun Tenom berkata, selain guru, ibu bapa juga memainkan peranan penting menggalakkan anak mereka bergaul dengan kaum lain dan mempunyai rakan daripada pelbagai kaum.

Katanya, walaupun kerajaan memainkan peranan utama ke arah memupuk integrasi kaum dan mencapai perpaduan, pembabitan ibu bapa adalah perlu untuk mendidik anak mereka mengenai perpaduan.

“Fikiran anak-anak kita seharusnya tidak dicemari dengan isu perkauman. Mereka seharusnya diberikan pendidikan betapa pentingnya keharmonian kaum dan agama,” katanya

Jamawi berkata, perpaduan harus menjadi satu prinsip panduan untuk semua sekolah dalam aktiviti kokurikulum bagi memupuk persefahaman antara kaum.

“Pelajar hari ini adalah pemimpin masa depan, mereka perlu dididik memikul tanggungjawab membina Malaysia yang bersatu dengan matlamat yang sama,” katanya.