CADANG KAMPUNG SAYAP UNTUK PROGRAM DESA LESTARI

Oleh Wartawan BS
3 Februari 2020

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mencadangkan supaya Kampung Sayap, di sini, dipilih sebagai antara kampung luar bandar dimajukan di bawah Program Desa Lestari oleh KPLB Persekutuan tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, ini bagi memudahkan KPLB Persekutuan menyediakan kemudahan-kemudahan berkaitan di kampung yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pekan Kota Belud itu.

“Pemilihan Kampung Sayap berdasarkan keupayaan koperasi kampung ini mengurus dan memajukan pelancongan berasaskan komuniti dan potensi pelancongan di kampung itu.

“Antara syarat pemilihan kampung di bawah Program Desa Lestari ialah kampung itu mestilah ada aktiviti ekonomi seperti pelancongan dan mempunyai koperasi.

“Ini kerana koperasi akan berfungsi sebagai agen pembangunan ekonomi di peringkat kampung dan peneraju desa lestari serta perancang dan pelaksana projek. Maka saya mencadangkan kepada KPLB Persekutusn supaya kampung ini dimasukkan dalam Program Desa Lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program 4 Dalam 1 iaitu Perasmian Bangunan Keusahawanan Desa, Pusat Pengurusan Pelancongan Komuniti, Trek Laluan Pejalan Kaki, Pelancaran Buku Peraturan Kecil Kampung Sempena Program Pertandingan Keceriaan Peringkat Kampung Sayap Kota Belud dan Program “Youth We Care” anjuran Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) UPSI, di dewan kampung itu, di sini.

Turut hadir Pengarah Taman-Taman Sabah Dr. Maklarin Lakim, PPM Kadamaian Saikom Watis, Pengerusi MPKK Kampung Sayap Ezara Sadok, Ketua Kampung, Taising Bulang dan penduduk kampung.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, Program Desa Lestari merupakan salah satu inisiatif KPLB dalam usaha mentransformasikan desa menjadi sebuah kawasan yang maju dengan penduduk berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, usaha ini dilaksanakan dengan meningkatkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek-projek pembangunan di kampung.

“Antara objektif program ini ialah meningkatkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan dan memperkasakan aktiviti ekonomi dan keusahawanan penduduk kampung,” katanya.

Mengenai program 4 dalam 1 itu, Ewon berkata peruntukan membina pusat keusahawanan desa, trek laluan pejalan kaki dan pusat pengurusan pelancongan komuniti dibiayai menggunakan peruntukan kementeriannya.

“Saya gembira kerana semua kemudahan ini siap dibina mengikut jadual yang ditetapkan dan saya berharap ia dapat memberikan manfaat kepada penduduk kampung seterusnya menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan di kampung ini,” katanya.

Kampung Sayap mempunyai lebih 38 pusat pelancongan yang diusahakan oleh komuniti atau secara persendirian.

Antaranya Eko pelancongan Sayap Kowotuan: Syurga Air Terjun, Aura Montoria, Taman Sayap Konunukan dan Tabawon yang mempunyai kawasan bunga raflesia.

Bagi penggemar aktiviti lasak, mereka boleh menerokai Bukit Nopungguk lituk dengan ketinggian 1,226 meter dan Karak Sayap Hiking Trail.