DUA BANGKAI GAJAH DITEMUI

Oleh Wartawan BS
10 Februari 2020

KINABATANGAN: Dua bangkai gajah Pygmy Borneo ditemui di kawasan ladang kelapa sawit masing-masing di Sukau dan Sandakan, dekat sini.

Ia membabitkan bangkai gajah dewasa yang ditemui di Ladang Sentosa, Sukau pada Sabtu, manakala seekor lagi ditemui di Ladang Tangkulap yang bersempadan Hutan Simpan Deramakot, hari ini.

Penemuan itu menjadikan sebanyak tiga kes kematian gajah direkodkan tahun ini dengan yang pertama membabitkan bangkai seekor gajah yang ditemui di Sukau, Januari lalu.

Tahun lalu, JHL Sabah merekodkan 25 kes kematian gajah di negeri ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga, berkata pasukan sudah dihantar ke Sukau untuk melakukan bedah siasat ke atas bangkai gajah pertama.

“Sebuah lagi pasukan masih dalam perjalanan ke lokasi penemuan bangkai gajah kedua.

“Saya belum mendapat maklumat lanjut mengenai kejadian ini sama ada gajah mangsa pemburu haram, diracun atau dibunuh. Siasatan masih dijalankan,” katanya.