TUARAN: Pemuda UPKO Tuaran menyokong penuh keputusan Majlis Tertinggi untuk terus konsisten dalam perjuangan demi esok yang lebih terbilang bagi Sabah.
“UPKO sudah terbukti sebagai sebuah wadah perjuangan yang kukuh, konsisten dan berwawasan jauh. Kami mahu parti kesayangan kami ini kekal konsisten dan progresif,” kata ketuanya Charles Jauti.
“Saya senantiasa berkomunikasi dengan kepimpinan tertinggi UPKO, terutama Presiden. Kami bersama mereka, kami berdoa agar mereka beroleh kebijaksanaan serta kekuatan hati dalam perjuangan penuh liku ini,” tambah beliau.
Charles mengambil contoh keputusan Majlis Tertinggi yang diumumkan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pada Sabtu lalu untuk beriringan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Keputusan itu dibuat kerana ia bagi mempertahankan mandat yang diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Pemuda UPKO Tuaran berdiri teguh bersama presiden dan menyokong keputusan yang memperdulikan rakyat itu,” katanya selepas pertemuan santai dengan rakan-rakan pemuda di Tuaran, di sini, hari ini.

Charles berkata, UPKO akan meneruskan integriti parti selain sentiasa fokus, berani dan ikhlas dalam perjuangannya.
“Kami sepakat dalam perkara ini seperti yang diungkapkan dalam pertemuan kami tadi; saya juga berharap semua ahli UPKO akan terus bersatu dan tabah dalam mengharungi setiap perjuangan,” katanya lagi.
Kelmarin, Majlis Tertinggi UPKO dalam mesyuarat tergempar parti yang dipengerusikan Madius sebulat suara bersetuju menyokong Mahathir.
“Pagi tadi (semalam) saya telah mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UPKO di Ibu Pejabat UPKO untuk membuat pendirian berkenaan krisis kepimpinan Kerajaan Persekutuan.
“UPKO tidak mahu pergolakan ini berterusan lebih lama.
“Mesyuarat mengambil maklum bahawa UPKO konsisten, selari dengan keputusan kami pada 10 Mei 2018, sehari selepas pilihan PRU14, di mana UPKO meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah serta PH untuk membentuk kerajaan campuran Sabah yang baru.
“Majlis Tertinggi UPKO sebulat suara menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad agar terus menerajui Kerajaan untuk mempertahankan mandat yang diberikan kepada PH oleh majoriti rakyat Malaysia dalam PRU14,” kata Madius dalam kenyataannya, kelmarin.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius