KOTA KINABALU: Lebih 100 orang hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, bagi menyambut kepulangan presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, hari ini.
Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri tiba, di sini, kira-kira jam 3.15 petang tadi, selepas berada di Kuala Lumpur sejak Ahad lalu.

Turut hadir menyambut kepulangan beliau ialah Timbalan Presiden, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin, Naib-Naib Presiden UPKO termasuk Datuk Ewon Benedick, Datuk Abidin Madingkir, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Komulakan serta ketua-ketua adat dari kawasan parlimen Tuaran.
Ketua Penerangan UPKO, Albert Bingkasan ketika dihubungi berkata, Madius berada di ibu negara bersama pemimpin-pemimpin kerajaan negeri termasuk ketua menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk bertemu dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, beliau yang turut bersama dalam rombongon Madius itu enggan mengulas lanjut berkaitan pertemuan itu dan berkata Madius sendiri akan membuat kenyataan mengenainya dalam tempoh terdekat ini.
Bingkasan berterima kasih kepada semua pemimpin dan penyokong yang membuat perancangan sendiri menyambut ketibaan Madius.
“Sokongan padu sebegini kepada kepimpinan parti sangat ketara daripada akar umbi UPKO sejak pergolakan politik di Kerajaan Persekutuan minggu lalu. Terima kasih UPKO,” tambah beliau.

Turut mengiringi Madius dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung UPKO, Nelson W Angang.
Baru-baru ini, Madius yang mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UPKO di ibu pejabat parti itu menyatakan sokongan kepada Mahathir.


More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius