COVID-19, ENAM KAKITANGAN UMS DIKUARANTIN

KOTA KINABALU: Enam orang kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini menjalani kuarantin dirumah selama 14 hari selepas menghadiri program perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) UMS dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan enam individu berkenaan telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Pusat Rawatan Warga (PRW) UMS atau hospital kerajaan.

“Bagaimanapun kesemua mereka tidak menunjukkan sebarang gejala yang boleh dikaitkan dengan COVID-19 dan pemantauan dijalankan bagi memastikan tahap kesihatan mereka adalah baik sebelum dibenarkan kembali bertugas,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menggesa agar semua warganya sentiasa menjaga kebersihan dan
kesihatan diri masing-masing pada setiap masa serta mengambil langkah-langkah
pencegahan bagi mengelakkan terdedah kepada risiko penyakit terutama COVID-19.

“Mana-mana kakitangan dan pelajar UMS yang mempunyai apa-apa gejala dikaitkan dengan COVID-19 terutama mereka yang baru kembali daripada perjalanan di luar negeri Sabah atau mengunjungi lokasi yang dikenalpasti sebagai kawasan berisiko COVID-19 agar melaporkan diri di PRW untuk pemeriksaan kesihatan dengan segera,” tambah kenyataan itu.