MADIUS: MARI BERDOA MOHON KEKUATAN

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Madius Tangau menyeru semua untuk berdoa dan memohon kekuatan daripada Tuhan Yang Maha Kuasa.

“Dengan rendah hati, saya menyeru setiap kita, tanpa mengira apa agama dan kepercayaan, kita berdoa agar kita dikurniakan kekuatan, ketabahan menghadapi wabak COVID-19 ini, moga wabak ini berakhir.

“Kita berdoa mengikut cara masing-masing. Juga untuk semua frontliners, moga cekal dan beroleh berkat,” kata beliau yang turut di muatnaik di FACEBOOK page beliau hari ini.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Sabah juga berkata, beliau akan membawa beberapa perkara berkaitan Covid-19 untuk dibincangkan dalam mesyuarat kabinet, esok.

“Saya menerima banyak aduan dari pelbagai pihak. Banyak yang saya sudah rujuk kepada Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah yang beroperasi 24 jam. Saya tahu banyak tindakan sudah di ambil.

“Ada juga beberapa yang wajar saya kemukakan juga di peringkat Jemaah Menteri. Esok (Rabu) ada Mesyuarat Kabinet, saya akan bangkitkan beberapa perkara,” kata Madius.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran juga berkata, satu Jawatankuasa Tindakan Bencana Daerah Tuaran Covid-19 telah ditubuhkan sejak awal lagi bagi meninjau serta mengambil tindakan terhadap sebarang aduan yang diterima daripada masyarakat di Tuaran.

“Jawatankuasa ini, Yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tuan Mohd Sofian Alfian Nair, bersiap siaga di Bilik Gerakan Bencana Daerah Tuaran dan sedia untuk bergerak bagi membantu mereka yang memerlukan terutama di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.

“Pihak jabatan-jabatan dan agensi Kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan atau NGOs telah menangani dan membantu kes-kes yang mendesak. Kita akan teruskan perkhidmatan sebegini,” katanya lagi.

“Keadaan membatasi pergerakan saya, justeru saya berterima kasih kepada para pegawai saya di semua peringkat, seperti di Kementerian, di Pusat Khidmat ADR Tuaran, Pejabat UPPM, Pejabat UPKO Tuaran dan akar umbi yang menyalurkan segala yang terdaya kepada yang benar-benar memerlukan,” kata beliau.

Sementara itu, Madius sekali lagi menyeru kepada orang ramai supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikankan penularan wabak Covid-19 dapat dibasmi.

“Usaha memerangi wabak Covid-19 adalah usaha kita bersama, jadi sekali lagi saya nasihatkan kepada anda semua supaya patuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini dan semua arahan Kerajaan …’Stay At Home’,” katanya.

Madius adalah antara pemimpin yang paling aktif memberikan maklumat terkini mengenai wabak itu terutama melalui akaun beliau di Twitter dan FACEBOOK./BERITA SABAH