COVID-19 : MALAYSIA CATAT KEMATIAN KE-16

KOTA KINABALU: Malaysia mencatat satu lagi kematian akibat Covid-19 menjadikan jumlah sebanyak 16 kes, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan perkara itu dalam kenyataannya, sebentar tadi.

“Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat satu lagi pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

“Pelaporan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 16 orang setakat ini.

“Kes kematian ke-16 (kes ke-1334) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 75 tahun dengan latarbelakang beberapa penyakit kronik,” katanya.

Noor Hisham berkata, lelaki terbabit telah mula menunjukkan gejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 16 Mac dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac.

“Kesihatan beliau telah merosot lalu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk bantuan pernafasan dan disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac.

“Namun, beliau telah disahkan meninggal dunia pada 24 Mac 2020 jam 7.40 malam. Punca jangkitan Covid-19 beliau masih dalam siasatan.

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” katanya./BERITA SABAH