COVID-19, MALAYSIA CATAT KES KEMATIAN KE-17

KOTA KINABALU: Malaysia mencatat satu lagi kes kematian akibat Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 17 orang, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, kes ke-17 itu membabitkan seorang warga Malaysia berusia 66 tahun dengan latar belakang beberapa penyakit kronik.

“Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat satu lagi pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

“Pelaporan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 17 orang setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Noor Hisham berkata, pesakit terbabit telah mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 20 Mac lalu.

“Keadaan beliau kritikal semasa tiba di Jabatan Kecemasan dan seterusnya memerlukan bantuan pernafasan pada hari yang sama.

“Beliau disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac 2020. Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 25 Mac 2020 jam 4.10 pagi.

“Punca jangkitan Covid-19 beliau masih dalam siasatan dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” katanya./BERITA SABAH