108 PESAKIT COVID-19 PULIH, DISCAJ HARI INI

KOTA KINABALU: Malaysia mencatatkan kes pulih Covid-19 tertinggi harian iaitu seramai 108 pesakit dibenarkan discaj, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang medianya sebentar tadi, berkata perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah pesakit yang telah sembuh dan discaj ialah seramai 645.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini seramai 102 orang dan 66 daripada jumlah berkenaan memerlukan bantuan alat pernafasan.

Terdahulu, Noor Hisham memaklumkan Malaysia mencatat dua lagi kematian hari ini menjadikan jumlah kes kematian, setakat ini, seramai 45 orang.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kes Covid-19 bertambah 142 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 2,908 kes./BERITA SABAH