APMM, PGU TINJAU PKP DARI UDARA

KOTA KINABALU: Bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi sepenuhnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan berkolaborasi bersama Pasukan Gerakan Udara (PGU) menjalankan tinjauan melalui udara, hari ini.

Tinjauan udara dilakukan di sekitar perairan Kota Kinabalu dan Labuan yang turut disertai Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah dan Komander PGU Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi.

Mohd Rosli berkata, tinjauan melalui udara ini dilakukan adalah untuk melihat keadaan semasa perairan Kota Kinabalu dan Labuan dalam tempoh 14 hari PKP dikuatkuasakan di seluruh negara.

“Selama satu jam setengah pemantauan udara dilakukan tidak kelihatan aktiviti perikanan yang aktif cuma kelihatan bot -bot nelayan kecil dipersisir pantai sahaja yang keluar untuk mencari hasil laut bagi menampung keperluan harian mereka.

“Begitu juga pusat pelancongan di pulau-pulau sekitar Kota Kinabalu juga kelihatan lengang, tidak berlaku sebarang aktiviti sukan air dan riadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sepanjang pemantauan di perairan Labuan juga hanya kelihatan aktiviti perikanan yang dibenarkan sahaja bagi memastikan bekalan ikan bagi penduduk setempat mencukupi.

“Feri-feri penumpang dari Labuan ke Menumbuk juga tidak beroperasi seperti biasa. Begitu juga di perairan Kota Kinabalu hanya bot-bot nelayan tradisional dan bot kelas A, B dan C sahaja yang meneruskan aktiviti perikanan mereka seperti biasa untuk membekalkan hasil laut dan memastikan ianya mencukupi untuk kegunaan rakyat.

“Setakat ini komuniti maritim patuh kepada arahan PKP ini dan memberikan kerjasama dalam mengurangkan pergerakan dan aktiviti mereka di laut.

“Saya juga turut ke Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (Safma) untuk melihat sendiri keadaan dan aktiviti yang berlaku di sana. Hasil pemerhatian berlaku seperti biasa dan sempat bertanya kepada beberapa kru bot nelayan berkenaan jumlah ikan yang diperolehi. Rata-rata kru bot dan peraih yang datang dari kawasan luar bandar memaklumkan bahawa hasil yang meraka dapat adalah seperti biasa dan mencukupi untuk bekalan penduduk setempat dan di luar bandar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PDRM khususnya PGU kerana memberi kerjasama dalam melakukan pemantauan laut melalui udara.

“Usaha dan kerjasama seperti akan diteruskan untuk memastikan arahan PKP ini terus dipatuhi oleh komuniti maritim,” katanya./BERITA SABAH