MADIUS: PERPADUAN TERSERLAH PERANGI COVID-19

TUARAN: Usaha memerangi Covid-19 telah menyerlahkan perpaduan dikalangan masyarakat yang begitu mudah berganding bahu menghulurkan bantuan kepada mereka yang sangat memerlukan.

“Saya gembira melihat sendiri kesudian masyarakat kita untuk bekerjasama bukan sahaja dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi dengan menyumbangkan pelbagai jenis bantuan,” kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

“Terima kasih kepada semua yang menghulurkan bantuan; ini satu amalan mulia yang wajar kita teruskan. Pastinya, keprihatinan sebegini boleh meringankan bebanan sekali gus menaikkan semangat kita untuk memerangi pandemik ini,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan lima kumpulan memberi sumbangan untuk golongan memerlukan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen Tuaran iaitu Kiulu, Tamparuli serta Sulaman.

Madius, yang juga merupakan Ahli Dewan Rakyat Tuaran berkata beliau bersetuju menerima sumbangan itu setelah dihubungi oleh wakil-wakli kumpulan itu iaitu Superwood Sawnmill Group, SME Association Sabah, Jitter Charity Moral Uplifting Society, Che Sui Khor Uplifting society serta Che Hor Khor Society.

Selaras dengan tatacara yang dipersetujui, kesemua bantuan itu diserahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana Tuaran, yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tuaran Mohd Sofian Alfian Nair.

Ia disempurnakan Pengarah Eksekutif Superwood, PJ Tan dengan disaksikan Madius di perkarangan Majlis Daerah Tuaran (MDT), di sini, pagi tadi.

Kesemua sumbangan itu akan diserahkan secepat mungkin kepada golongan memerlukan di tiga kawasan DUN, kata Madius, sambil menambah, “ada juga penyumbang yang memberikan bantuan secara senyap dan terus kepada kumpulan sasaran.”

“Sokongan dan sumbangan sebegini sangat bermakna malah menyerlahkan lagi semangat perpaduan di kalangan mereka, terutama ketika kita sedang menghadapi bencana Covid-19 ini.

“Bagi pihak pejabat parlimen Tuaran, saya berterima kasih dan memuji usaha murni yang dilakukan ini, mudah-mudahan sumbangan ini dapat membantu mereka yang sangat memerlukan,” katanya.

Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan itu tadi ialah Setiausaha Perhubungan kepada Madius, Fairuz Bandar, Timbalan Pengerusi MDT, George Teo, dan Pegawai Eksekutif MDT, Jackley Gilbert./BERITA SABAH