PAKEJ KEDUA RANGSANGAN EKONOMI SABAH DALAM PROSES

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang dalam proses menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi Sabah untuk merangsang pertumbuhan dan mengukuhkan lagi daya tahan ekonomi negeri ekoran penularan wabak COVID-19, kata Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata objektif utama Pakej Kedua berkenaan adalah untuk menyuntik keyakinan para pelabur dan komuniti perniagaan terhadap pertumbuhan ekonomi negeri sebaik sahaja tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Kerajaan perlu membantu para pelabur dan komuniti perniagaan bukan sahaja dalam usaha pemulihan, tetapi juga untuk memastikan perkembangan dan kesinambungan halatuju perniagaan mereka,” katanya.

Juhar berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan negeri sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri sememangnya amat prihatin dan memahami kesulitan rakyat dan akiviti perniagaan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

“Justeru, kerajaan negeri baru-baru ini telah melancarkan Pakej Bantuan Covid-19 Sabah, “Sabah, We Care” berjumlah RM670 juta yang bersifat inklusif. Pakej ini meliputi bantuan kepada pelbagai golongan rakyat yang terjejas, petugas barisan hadapan, usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta peniaga kecil.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang telah mengambil tindakan wajar dan pantas dengan menubuhkan ‘Sabah COVID-19 Command Centre’ untuk membendung penularan wabak berkenaan.

Juhar berkata Sabah COVID-19 Command Centre telah dipertanggungjawabkan untuk membuat keputusan-keputusan penting bagi pihak kerajaan negeri, penyelarasan pelaksanaan bantuan dan tindakan serta menyelaras maklumat dan status semasa ancaman wabak COVID-19 di Sabah./BERITA SABAH