COVID-19 : 55 KES BAHARU DI MALAYSIA, 71 LAGI SEMBUH

KOTA KINABALU: Malaysia hari ini mencatat pertambahan 55 kes Covid-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini ialah 6,353.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang medianya hari ini berkata, tujuh merupakan kes import manakala 48 lagi adalah kes jangkitan tempatan.

Beliau turut memaklumkan, seramai 71 lagi pesakit Covid-19 di negara ini telah pulih dan dibenarkan pulang menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh ialah sebanyak 4,484 atau 70.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ini juga bermakna, sebanyak 1,764 kes aktif Covid-19 di Malaysia setakat tengah hari tadi dan daripada jumlah itu sebanyak 28 dirawat di Unit rawatan rapi, dengan 13 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan sama, tiada kematian dicatatkan hari ini dengan jumlah korban Covid-19 di Malaysia kekal 105 atau 1.65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang direkodkan./beritasabah.com