SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengambil alih operasi pemungutan dan pembersihan di daerah ini selepas konsesi lama yang bertanggungjawab mengendalikan operasi itu menolak penyambungan kontrak.
Presiden MPS, Wong Foo Tin, berkata MPS mengambil alih tugas itu sejak 2 Mei selepas menerima surat penolakan itu pada Jumaat dan perkara itu mengejutkan MPS yang terpaksa merancang untuk mengembalikan kerja pemungutan sampah dalam kawasan perkadaran dalam tempoh paling cepat.
Katanya, isu terbabit turut menjadi tular dalam semua bentuk media dengan gambar longgokan sampah sehingga ramai yang menghubungi pihaknya, selain turut mempersoalkan kepekaan MPS terhadap isu berkenaan.
“Perkara ini (penolakan penyambungan kontrak) satu berita mengejut MPS, umpama seorang yang sihat yang menerima keputusan pemeriksaaan doktor bahawa dia telah mengidap penyakit ‘cancer stage 4’ yang mana memerlukan ratusan ribu untuk rawatan.
“Untuk makluman, MPS tidak mempunyai lori sampah kerana kerja pemungutan sampah telah diswastakan sejak 10 tahun lalu dan terpaksa menggunakan beberapa unit jentera lori tiga tan yang sedia ada dari bahagian lain yang mana jentera terbabit bukan berfungsi untuk kerja pemungutan sampah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Foo Tin berkata, MPS berjaya mengumpulkan 26 lori dan jentera penggali serta mengerahkan 100 orang tenaga pekerja MPS bagi membantu melaksanakan operasi pemungutan dan pembersihan sampah.
Katanya, operasi sudah dimulakan hari ini dan beliau menjangkakan ia akan mengambil masa dua hingga tiga hari untuk menyelesaikan kerja pemungutan sampah di 345 lokasi serta semua pusat komersial.
“Kita ucapkan terima kasih kepada syarikat konsesi lama yang telah melaksanakan kerja pembersihan sampah dengan penuh tanggungjawab selama 10 tahun,” katanya.
Foo Tin turut meminta penduduk bersabar kerana MPS perlu mengambil masa bagi mengatasi isu berkenaan dengan kemungkinan kekerapan kutipan sampah di beberapa lokasi terpaksa dikurangkan mengikut kapasiti jentera sedia ada.
Beliau turut memberi jaminan operasi pemungutan dan pembersihan sampah akan kembali pulih ke tahap sedia ada apabila konsesi pemungutan dan pembersihan sampah yang baharu dilantik./beritasabah.com

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ