KOTA KINABALU: Sejumlah RM189 juta telah disalurkan Kerajaan Sabah kepada 918,829 keluarga menerusi Pakej Bantuan Covid-19 Sabah We Care sepanjang Perintah Kawalah Pergerakan (PKP) sehingga setakat 22 Jun lalu.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Nic Chak dalam satu kenyataan berkata, bantuan berkenaan merangkumi penduduk Sabah dalam pelbagai sektor.
“Sebagai contoh, anggota RELA, pegawai-pegawai imigresen, anggota polis, pemandu pelancong, malim gunung, petani, nelayan, pengusaha kecil getah, warga emas, anak yatim, OKU, ibu tunggal, penjaja, mahasiswa, pemandu teksi, pemandu bas, wartawan, keluarga-keluarga dalam kumpulan B40 dan M40, pesakit Covid-19, suspek-suspek yang dikuarantin, perolehan topeng muka, sanitizer dan sebagainya.
”Daripada jumlah besar RM189 juta ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengagih RM18.9 juta kepada 63,226 keluarga atau individu anak yatim, warga, OKU, pesakit Covid-19 dan lain-lain.
”Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pula telah mengagihkan RM31.2 juta kepada 104,015 keluarga atau individu petani, nelayan, pengusaha kecil getah, pengusaha kecil kelapa sawit dan sebagainya. Manakala sejumlah 1,351 pemandu pelancong telah menerima RM405,300 daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar.
”Bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar, sejumlah RM36.68 juta telah dibayar kepada 99,986 keluarga dalam kumpulan miskin tegar, B40, e-kasih dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, menerusi Jabatan Kerja Raya di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur, sejumlah RM1.015juta telah dibayar kepada 3,386 pemandu teksi, pemandu bas dan pemandu lori manakala Jabatan Hal Ehwal Wanita telah membantu 1,969 ibu tunggal dengan sejumlah RM590,700
Bagi kategori penjaja, pengusaha tapak pasar malam, pemilik food truck dan lain-lain, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan telah membelanjakan RM2.66 juta untuk membantu 13,328 orang dan tambahan sebanyak RM463,200 telah disalurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi membantu 2,316 orang.
“‘Kerajaan tidak melupakan rakyat Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia. Melalui badan perhubungan yang ditubuhkan, sejumlah RM38.78 juta telah dibelanjakan untuk membantu 134,318 orang Sabah yang bekerja atau melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan Sabah turut membelanjakan RM23.65 juta untuk membantu petugas barisan hadapan seperti para wartawan, anggota RELA, anggota kastam, kakitangan ESSCOM, anggota imigresen, anggota PDRM, anggota maritim, anggota tentera, anggota pertahanan awam dan sebagainya yang telah berbudi dan berkhidmat kepada masyarakat sepanjang PKP.
Selain itu, Kerajaan Sabah turut mengagih pek makanan dan bantuan makanan keperluan dapur. Untuk tujuan ini, sejumlah RM34.74 juta dibelanjakan untuk meringankan bebanan 494,323 keluarga di seluruh Sabah.-http://beritasabah.com

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ