KAMPUNG WARISAN INANAM AKAN DIWARTAKAN DALAM TEMPOH TERDEKAT

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pembangunan Perumahan Dan Bandar Sabah (LPPB) selaku pemilik tanah untuk membolehkan tindakan mewartakan Kampung Warisan di Inanam sebagai kampung yang sah di bandar raya ini.

Pembantu Menteri Perdagangan Dan Perindustrian, Azhar Matusin berkata beliau melalui pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai sudah memaklumkan kepada DBKK agar tindakan dapat diperhalusi sebelum dipanjangkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya telah berusaha sedaya upaya bagi memastikan Kampung Warisan Inanam dapat diberikan kelulusan pewartaan kampung selaras dalam manifesto dalam pilihan raya umum (PRU14) lalu.

“Kita melahirkan keyakinan dengan kebijaksanaan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman akan membantu bagi merealisasikan kelulusan pewartaan kampung Warisan Inanam ini dalam tempoh terdekat.

“Kita yakin juga, Ketua Menteri Sabah bersedia mendengar serta membantu untuk menyelesaikan masalah pewartaan kampung bukan sahaja di sini (Warisan) malah di seluruh kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN), Karambunai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengagihan Lembu Parlimen Sepanggar membabitkan Dun Karambunai dan Inanam di Kampung Warisan Inanam, di sini, semalam.

Azhar menyampaikan simbolik agihan lembu korban kepada bomba

Hadir sama dalam program itu, Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman, Pemimpin Masyarakat Dun Inanam, Latip Mopuas mewakili Pembantu Menteri Kewangan, Kenny Chua.

Azhar berkata, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membela nasib kampung tradisi dalam bandar terutama kampung yang sememangnya sudah teratur dan terancang.

“Jika diwarta kelak, Kampung Warisan Inanam akan lebih membangun dan mendapat perkhidmatan kerajaan dengan lebih berkesan sekaligus menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri perihatin menyelesaikan masalah rakyat di kawasan akar umbi,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Azhar yang juga Adun Karambunai berkata sebanyak 90 ekor lembu disumbangkan membabitkan Masjid dan Surau di Kawasan Parlimen Sepanggar.

“Sumbangan ini hasil kerjasama yang kukuh antara Ahli Parlimen Sepanggar, Adun Karambunai dan Adun Inanam. Ini merupakan sumbangan yang tertinggi ketika ini di Sepanggar kemudian akan diagihkan kepada badan-badan bukan kerajaan NGO serta Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sekitar Sepanggar,” katanya lagi.-http://beritasabah.com