KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan merancang strategi terbaik untuk parti dan yakin akan dapat memenangi semula mandat rakyat yang diberikan dalam pilihanraya lalu.
Presidennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah satu peluang bagi mereka memilih calon yang terbaik untuk bertanding.
“Dalam PRU sebelum ini, sesetengah calon bukan pilihan kami disebabkan ada pemimpin parti lain yang masuk campur dalam pemilihan calon bertanding.
“Kali ini, kami lebih berpeluang untuk memilih calon pilihan kami dan peluang untuk bertanding menggunakan logo kami sendiri,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu selepas tiba dari Kuala Lumpur, petang tadi.

Madius berkata, UPKO juga akan berbincang dengan Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan Sabah untuk menentukan pembahagian kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) PRN akan datang.
Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis presiden dalam masa terdekat.
Sementara itu, beliau turut menyambut baik tindakan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal yang berjaya mendapatkan perakuan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN bagi menyelesaikan ketidaktentuan dalam politik Sabah.
Ketika ditanya sama beliau akan bertanding dalam PRN kali ini, Madius berkata, perkara itu akan dipertimbangkan sebaiknya.
Madius berkata, UPKO sentiasa bersedia untuk berdepan PRN kerana secara terus menerus turun padang bagi membantu dan menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.
“Perkhidmatan kami adalah sebahagian daripada persiapan untuk PRN akan datang. Kami akan bekerjasama dengan rakan di Warisan, DAP dan PKR,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tindakan Datuk Abidin Madingkir yang memilih untuk menyokong bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, Madius hanya mahu mengucapkan selamat berjaya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan itu.-http://beritasabah.com

More Stories
Calon UPKO Norfadzlina Ramsah terbaik wakil rakyat baharu DUN Labuk
Tanjung Aru Voters at the Heart of Dennison Indang’s Vision for Change
A strategic discussion in Malaysia’s Sabah