SANDAKAN: Kementerian Kesihatan akan menempatkan mesin GeneXpert automatik di Hospital Duchess of Kent, di sini dalam usaha memaksimumkan ujian Covid-19.
Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, berkata tiada makmal baharu akan dibina di daerah ini, namun hospital terbabit akan membeli pendiagnosa molekular untuk meningkatkan ujian berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi ujian bertulis Adham bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam soalannya, Shir Yee meminta menteri menyatakan status terkini mengenai cadangan membina makmal ujian baharu di daerah ini seperti mana diumumkan pada 14 April lalu oleh kementerian berkenaan.
Adham menjelaskan, mesin terbabit adalah antara kaedah mengenal pasti makmal untuk ujian Covid-19.
Katanya, kementerian juga sudah meningkatkan kapasiti ujian RT-PCR daripada 1,000 sehari pada Januari kepada 37,336 sehari pada Julai lalu.
“Mewujudkan lebih banyak makmal seumpama makmal dengan kepakaran mikrobiologi atau membeli mesin GeneXpert automatik yang dapat dilakukan pegawai makmal tanpa memerlukan makmal molekul yang lengkap adalah kaedah lain digunakan untuk memaksimumkan kapasiti ujian Covid di seluruh negara.
“Hospital Sandakan telah dikenalpasti sebagai salah satu makmal hospital yang disasarkan untuk pengembangan makmal berkenaan,” katanya.
Adham berkata, cadangan pengembangan makmal yang disarankan adalah membeli mesin GeneXpert baru, bukan dengan membangunkan makmal baharu seperti dinyatakan sebelum ini.
Katanya, biarpun kes Covid-19 harian menurun, kementerian memutuskan untuk meneruskan inisiatif itu memandangkan perancangan berkenaan relevan dengan enam kunci utama dasar pemisah oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai keperluan memastikan negara memiliki kapasiti yang mencukupi untuk pengesanan dan pengujian Covid-19.-http://beritasabah.com

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ