TAMPARAN HEBAT BUAT STAR, TIMBALAN PRESIDEN KELUAR PARTI

KOTA KINABALU: Di kala kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin terasa, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menerima satu tamparan hebat apabila timbalan presidennya, Kong Fui Seng dikatakan meninggalkan parti itu.

Menurut laporan FMT, Kong Fui Seng, dijangka akan menyertai Warisan dengan kemasukan beliau itu akan dibuat dalam satu majlis di Keningau, Khamis ini.

“Ya memang benar (Kong keluar daripada STAR), dan saya juga difahamkan satu majlis kemasukannya ke dalam Warisan akan diadakan di kediamannya, di Keningau pada 9 September ini.

“Kami menghormati keputusan Kong untuk meninggalkan STAR dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya,” kata seorang sumber seperti dilapor FMT.

Kong yang juga ahli perniagaan sebelum ini pernah bertanding dalam dua pilihan raya umum (PRU) iaitu pada 2013 dan 2018, atas tiket STAR.

Bagaimanapun beliau tewas dalam dua pilihan raya itu iaitu ketika bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada 2013 dan di Dun Liawan pada PRU lalu.-http://beritasabah.com