PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking berkata isu ketidakpercayaan sesama sendiri rakyat Sabah khususnya antara penduduk pantai timur dan pantai barat antara punca berlakunya perpecahan perpaduan di negeri ini.
Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 itu berkata, perkara itu dapat dilihat berdasarkan tuduhan-tuduhan liar yang dilontarkan oleh kedua-dua pihak.
“Bila penduduk di pantai barat melihat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mereka secara automatiknya memandang beliau sebagai pendatang tanpa izin (PTI), hanya kerana mereka tidak tahu bagaimana kehidupan mereka di kawasan pantai timur.
“Macam juga dari Malaya atau Semenanjung, mereka kurang pengetahuan tentang Negeri Sabah. Masalah terbesar kita adalah kita tidak mengenali sesama, kita tidak mahu mengenali antara satu sama yang lain atau kita fikir kita sudah tahu secukupnya, hanya kerana kita ada kawan antara kita ataupun dapat berjumpa dengan salah satu daripada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Santai Bersama Calon Parti Warisan Sabah di Kampung Ramayah, malam tadi.
Mengulas lanjut, Darell yang juga Timbalan Presiden Warisan mengakui sebelum ini beliau juga tidak mehamami masalah yang dihadapi di kawasan pantai timur Sabah.
“Namun apabila saya mengambil peluang untuk memasuki kawasan tersebut, saya mendapati masyarakat di kawasan itu juga kongsi masalah yang sama seperti kita di kawasan pantai barat Sabah.
“Mereka juga tidak suka PTI. Mereka pun ada banyak masalah pekerjaan,industri, ekonomi dan segalanya. Yang mungkin masalah kita tidak ada adalah jarak antara negara Filipina dan Indonesia dekat dengan kawasan pantai timur Sabah,” katanya.-http://beritasabah.com

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius