LAHAD DATU: ‘Op Tapis’ yang dijalankan di Kampung Bakau, dekat sini, semalam berjaya menahan seorang lelaki pengedar dadah.
Operasi khas kira-kira jam 12.45 tengah hari itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu selepas mendapat maklumat dan risikan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, lelaki penganggur berusia 52 tahun dikenalpasti menjalankan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu di sekitar kampung atas air berkenaan.
“Ketika ditahan, polis turut merampas satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi tiga paket plastik berisi ketulan hablur disyaki syabu.
“Dadah yang berjaya dirampas seberat 152.55 gram dan dianggarkan bernilai RM22,882.50 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rohan berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan turut didapati positif dadah jenis metaphetamine.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ