PGA RAMPAS ROKOK SELUDUP BERNILAI RM12,601.10

KALABAKAN : Rokok dianggarkan bernilai RM12,601.10 berjaya ditemui Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran kawasan semak berdekatan loji rawatan air, dekat sini, kelmarin.

Ia ditemui sepasukan pegawai dan anggota dari Kompeni ‘A’  PGA Tawau pada jam 6 pagi semasa menjalankan tugas Op Benteng COVID-19 di Road Check Point (RCP),

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, rokok itu disyaki cuba diseludup masuk dari negara jiran.

“Semasa menjalankan tugas, anggota kita terserempak dengan tiga buah guni mencurigakan di kawasan semak.

“Hasil pemeriksaan terhadap kandungan di dalam guni tersebut mendapati terdapat 78 pak rokok pelbagai jenis dan 340 bungkusan kecil tembakau,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, rokok dan tembakau tersebut dipercayai dibawa masuk secara haram dan cuba di pasarkan di kawasan sekitar daerah ini dan Tawau.

“Kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk tindakan selanjutnya dan kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam,” katanya.