PENCURI BASIKAL KETULAHAN

KOTA KINABALU: Pencuri basikal bersiri di bandaraya ini akhirnya terungkai dengan penahanan seorang lelaki berusia lingkungan 46 tahun pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, penahanan suspek turut menemukan 11 basikal pelbagai jenama yang disyaki hasil perbuatan jenayah itu.

“Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di tepi jalan Sembulan.

“Ia susulan laporan polis yang dibuat seorang pengadu selepas basikal miliknya hilang dipercayai dicuri,” katanya.

Ujar beliau, hasil soal siasat terhadap suspek mendapati dia melakukan kes ini secara bersendirian.

Basikal pelbagai jenama yang dirampas.

“Selepas mencuri basikal, suspek akan bawa ke sekitar kawasan Sembulan untuk mencari pembeli dengan memperdayakan pembeli bahawa suspek bekerja sebagai mekanik basikal dan menjual basikal di sekitar Kota Kinabalu atas sebab tidak digunakan lagi.

“Modus operandi suspek menjual basikal yang dicuri kepada pembeli yang dikenali dan tinggal di penempatan Sembulan dengan harga RM250 hingga RM500 sebuah tertakluk kepada jenis basikal.

“Suspek melakukan sembilan kes curi basikal di sekitar kawasan perumahan Luyang yang mana membabitkan 11 buah basikal dilaporkan hilang,” katanya sambil menambah jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM10,000.

Menurut Habibi, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif Methamphetamine dan mempunyai 10 rekod kesalahan lampau

“Suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.